Bilal Melecur Teruk Disimbah Minyak & Dibakar Dilapor Meninggal Dunia

Posted on

Bilal Masjid Al-Hasanah, Taman Rakyat di sini yang melecur selepas disimbah minyak sebelum dibakar pada 19 Feb lepas, meninggal dunia kira-kira pukul 4 petang tadi.

Menantu mangsa, Jarina Awang, 44, berkata bapa mertuanya, Amri Budin, 65, tidak sedar selama 22 hari selepas menjalani pembedahan di beberapa bahagian anggota badannya yang melecur.

“Arwah telah menjalani satu pembedahan selepas seminggu kejadian berlaku dan sejak daripada itu tidak sedarkan diri sehingga hari ini kerana dipercayai banyak organ dalaman gagal berfungsi dengan baik.

“Jenazah masih di Hospital Sultanah Bahiyah dan akan dibawa pulang ke Taman Seri Indah, Jalan Lencong Barat dan akan dikebumikan selepas solat Isyak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi, 19 Feb lepas, mangsa yang ke masjid untuk mengazankan solat Subuh telah disimbah minyak sebelum dibakar oleh seorang individu yang tidak dikenali sehingga melecur teruk di bahagian muka, tangan dan badan sebelah kiri.

Pada hari yang sama, polis berjaya menahan suspek, bagaimanapun pada 23 Feb, Mahkamah Alor Setar mengarahkan lelaki terbabit menjalani pemerhatian di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan. — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.