Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Kok Lanas dan Kuala Krai ditutup sementara bermula hari ini sehingga 10 Januari 2021.
BSN dalam satu kenyataan berkata, penutupan tersebut berikutan pendedahan kakitangan bank kepada orang luar yang disahkan positif Covid-19.
Tambahnya, operasi Mesin Teler Automatik (ATM) dan Mesin Deposit Tunai (CDM) di kedua-dua cawangan tersebut juga ditutup dan akan beroperasi semula pada 11 januari 2021 pada jam 11 pagi.
Katanya, proses sanitasi akan dilaksanakan di kedua-dua cawangan tersebut dan orang ramai boleh mengunjungi cawangan BSN terdekat iaitu BSN Melor dan BSN Machang bagi cawangan Kuala Krai.
“Bank turut mengalakkan pelanggan menggunakan perbankan internet myBSN untuk keperluan perbankan anda.
“Pengeluaran wang tunai boleh dibuat di semua ATM cawangan MEPS yang mana caj RM1 bagi urusniaga pengeluaran tunai antara bank di semua ATM dikecualikan buat masa ini.
“Sebarang kesulitan amatlah dikesali. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN melalui talian 1300-88-1900,” kata kenyataan itu.