Umum mengetahui pelakon Risteena Munim sedang hangat bercinta dan dalam fasa paling bahagia dalam hidupnya dengan kehadiran “jejaka misteri” yang mengisi hatinya dengan penuh kasih sayang. Bagaimanapun, ramai yang tertanya, bukankah Risteena sebelum ini menjalin hubungan cinta dengan aktor bernama Ikhwan Khairuddin dan mereka sepatutnya berkahwin pada November ini. Apa yang berlaku?
Pelbagai spekulasi timbul sehingga ada yang berkata Risteena curang. Menjawab segala tuduhan netizen, aktres itu memberitahu dia tidak pernah bermain kayu tiga dan sudah berjuang habis-habisan mempertahankan cinta mereka. Namun, sudah tertulis tiada jodoh antaranya dan Ikhwan. Hubungan mereka sudah berakhir sejak beberapa bulan lalu.
Tiada siapa perlu disalahkan apabila hubungan kami berakhir dengan perpisahan. Kami tidak ditakdirkan bertemu jodoh. Soal kenapa, biarlah hanya saya dan Ikhwan yang mengetahuinya. Mungkin ada yang menuduh saya curang, tetapi mereka tidak tahu di sebalik segala yang berlaku. Bukan saya tidak berusaha mempertahankannya, malah Ikhwan tahu bagaimana saya berjuang menjaga perhubungan kami.
Saya tidak mampu terus menunggu, sedangkan hati semakin menjauh. Orang luar tidak tahu betapa saya sedih berdepan perpisahan. Agak lama untuk saya bangkit daripada kemurungan.
Derita putus cinta dan betapa teruknya hati terluka memang tidak dapat digambarkan, namun kini Risteena semakin bahagia dengan kehadiran jejaka yang sering membuat dirinya terasa disayangi, mencurahkan cinta tulus ikhlas buatnya.
Ramai juga yang seakan sudah mengetahui siapakah jejaka misteri yang bertakhta di hati Risteena iaitu aktor Isa Khan. Menguatkan lagi dakwaan tersebut apabila pelakon wanita itu memuat naik foto bersama Isa Khan dan kakaknya, Farali Khan berserta kapsyen ‘Family’. Namun, foto itu sudah dipadam. Malah, beberapa video mesra mereka berdua turut dimuat naik di laman sosial masing-masing. Katanya, mereka sedang menghitung hari untuk berkahwin.