Setiap manusia dilahirkan di dunia ini dikurniakan dengan keistimewaan yang tersendiri. Walaupun ada segelintirnya mempunyai kekurangan dari segi fizikal, ia bukanlah sebab untuk menyerah kalah dan memandang rendah kemampuan diri.
Kandungan
Dilantik sebagai bilal di masjid terkemuka
Menerusi laporan portal Selangor Kini, seorang lelaki berstatus orang kelainan upaya (OKU) telah dilantik menjadi bilal di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Mohammad Syafiizwan Mohd Suhaini, 19, yang cacat penglihatan sejak kecil mula berkhidmat sebagai bilal sejak 1 Ogos lalu selepas berjaya terpilih menerusi program Akademi Muazzin.
Baca : Sekarang baru saya sedar. Kenapa orang bangun sebelum subuh selalu BERJAYA.
Tak pernah bermimpi jadi bilal
Mohammad Syafiizwan yang juga pernah menjadi juara Tilawah Al-Quran Braile Kebangsaan pada 2017 mengakui tidak pernah bermimpi untuk diangkat sebagai bilal.
Namun atas sokongan semua pihak, dia berharap kejayaan ini menjadi dorongan untuk golongan senasib menjadi insan yang lebih baik.
“Saya anggap pelantikan sebagai bilal ini juga kejayaan serta dorongan buat golongan senasib, sekiranya kita bersemangat dan mahu keluar dari kepompong sedia ada sudah tentu ALLAH bersedia untuk menunjukkan jalanNya.”
Tambahnya lagi, kejayaan yang dikecapainya sekarang adalah hasil usaha serta sokongan bapanya yang tidak jemu-jemu memberi galakkan. Dia juga telah menemani Syafiizwan menyertai Akademik Muazzin.
“Kejayaan ini juga sudah tentunya atas sokongan keluarga terutamanya ayah saya yang sejak awal menemani ketika menyertai Akademi Muazzin.”
Jadi inspirasi anak muda
Pelantikan Syafiizwan bukan sahaja memberi inspirasi, malah mengangkat insan-insan istimewa ini ke satu tahap yang baik dan peluang yang bagus untuk mereka dalam meneruskan kehidupan.