Kutu beras, bubuk atau nama lainnya ‘grain weevil’ adalah makhluk yang akan selalu kita jumpa di dalam beras ataupun tepung terutamanya yang telah lama disimpan. Maka, tidak hairanlah jika kita menjumpainya di dalam pek beras atau tepung yang baru kita beli di pasaraya.Tips Hapuskan Serangan Kutu Beras.
Jika dibiarkan, kutu-kutu ini akan bersarang dalam bekas atau plastik simpanan beras dan secara tidak langsung akan merosakkan kualiti beras atau tepung. Oleh sebab itu, kita perlulah mengusirnya seawal mungkin apabila ternampak kelibat kutu beras ini.
7 TIPS EFEKTIF MENGHALAU KUTU BERAS DENGAN PANTAS
Berikut adalah 7 petua mudah untuk mengusir kutu beras yang boleh anda lakukan sendiri di rumah anda.
1. ASAM KEPING
Ia merupakan bahan yang sangat tidak disukai oleh kutu-kutu beras. Caranya mudah sahaja, cuma letakkan beberapa asam keping ke dalam bekas beras yang tertutup dan ia sudah cukup untuk membuat kutu beras berasa tidak nyaman dan selesa. Selain itu, anda juga boleh menggunakan daun asam jawa dengan cara yang sama.
2. CILI KERING
Potong cili kering kepada 2 bahagian dan letakkan ke dalam beras anda. Rasa pedas dan panas ini tentunya akan menjadikan kutu beras berasa tidak selesa. Namun, anda juga haruslah menggantikan cili kering tersebut apabila baunya semakin memudar.
3. JEMUR BAWAH MATAHARI
Jika anda mendapati terlalu banyak kutu beras dalam beras tersebut, and abolehlah menggunakan cara ini. Mula-mula, letakkan cili kering dan jemurkan di bawah cahaya matahari terik. Anda akan nampak kutu-kutu beras tersebut berpusu-pusu keluar dari beras.
Lebih elok lagi jika anda meletakkan kesemua beras anda ke dalam dulang yang leper dan gembur-gemburkan beras anda supaya kutu beras tidak dapat bersembunyi di sebalik timbunan beras.
4. MASUKKAN BERAS KE DALAM PETI AIS
Untuk memastikan kesemua kutu beras mati, anda bolehlah menyimpan beras anda di bahagian ‘freezer’ selama 2 hari. Dengan cara ini, telur-telur tidak akan menetas dan kutu beras yang tertinggal pasti akan mati. Selain itu, kutu beras juga akan senang timbul sewaktu anda mencuci beras.
5. DAUN LIMAU PURUT
Daun limau purut mengeluarkan aroma yang kuat dan sekaligus menyahkan bau hapak yang terdapat pada beras anda. Walaupun ia wangi pada hidung kita, kutu beras sangat tidak selesa dengan baunya. Untuk kesa yang lebih efektif, masukkan daun ini di 3 bahagian beras anda – atas, tengah dan bawah suapay kutu beras dapat diusir dengan cepat.
6. DAUN PANDAN
Daun pandan juga termasuk dalam herba yang mengeluarkna aroma yang kuat dan tidak disukai oleh kutu beras. Selain itu, ia juga dapat mewangikan beras anda. Anda juga boleh meletakkan ‘bay leaves’ atau daun salam. Tapi, pastikan daun itu kering dahulu sebelum dimasukkan ke dalam beras.
7. KULIT KAYU MANIS
Caranya mudah sahaja, masukkan beberapa keping kulit kayu manis ke dalam beras anda. Aromanya yang kuat bukan sahaja dapat mewangikan beras anda namun ia juga tidak akan menjejaskan rasa beras disamping menjadi agen pengusir kutu beras.
KESIMPULAN
Tahukah anda, bagi yang alah atau alergi dengan kutu beras, gigitannya boleh menyebabkan anda mengalami masalah kegatalan di kulit sehingga berminggu lamanya. Jika anda jarang memasak, cukuplah sekadar membeli pek kecil beras supaya kutu beras tidak dapat membiak di dalam beras anda.
Sumber: 1001Petua