Sebanyak sembilan kes baharu positif COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan 158 kes positif dilaporkan setakat ini, ketika Malaysia sudah memasuki gelombang kedua wabak itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat ini kes positif COVID-19 dikesan di Sabah, Pahang, Johor, Perak dan Kelantan.
Beliau berkata, seramai enam individu yang sebelum ini disahkan positif sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih adalah 32 individu.
“Dari sembilan kes, satu dikaitkan dengan kluster pertama iaitu dikaitkan dengan kes 26 dan kes 33, dan selebihnya pesakit dalam siasatan (PUI) dan dikaitkan dengan kes 131 (kluster kedua),” katanya kepada pemberita hari ini.
Ketika ini, terdapat tiga kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan mereka dalam keadaan stabil.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia belum lagi mengalami kes sporadik susulan kluster kedua membabitkan kira-kira 5,000 peserta Malaysia yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.
Katanya, ia berikutan individu terbabit boleh dikesan, manakala pihaknya sudah memaklumkan kepada yang terbabit untuk menghubungi Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menjalani saringan.
“Ini kumpulan besar jadi kita sudah mengenal pasti mereka.
“Mereka sudah balik ke negeri asal masing-masing dan kita sudah mempunyai laporan dari beberapa negeri. Jadi kita sedang dapatkan maklumat, selepas itu barulah kita akan buat analisis dan mengesahkan berapa ramai dikaitkan dengan perhimpunan itu,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, KKM bersedia untuk mendedahkan jumlah kes positif COVID-19 mengikut negeri dengan kebanyakan kes gelombang kedua bertumpu di sekitar Lembah Klang.
Bagaimanapun, beliau berkata, analisis perlu dilakukan terlebih dahulu.
Terdahulu, pada sidang media, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata, orang awam yang terbabit dengan perhimpunan di Masjid Seri Petaling itu perlu bekerjasama dan mematuhi nasihat KKM demi memastikan tiada penularan jangkitan COVID-19 dalam masyarakat umum.
“KKM juga telah memaklumkan mengenai jangkitan COVID-19 kepada International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) negara-negara yang rakyatnya menghadiri majlis ini,” katanya
Ditanya mengenai status acara bertaraf antarabangsa, Mohd Redzuan berkata, ia akan dikaji semula, manakala penganjuran yang sudah dijadualkan seperti Sidang APEC 2020 pada November nanti akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sama ada boleh atau sebaliknya diteruskan.
Katanya, perhimpunan awam melebihi 250 orang akan dikekang dan ada peruntukan tertentu yang akan digunakan untuk memastikan semua mematuhi apa saja perintah yang dikeluarkan.
Ditanya sama ada kesan COVID-19 yang kini sudah diisytihar sebagai pendemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut dibincangkan dalam mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Kerja COVID-19 yang dipengerusikannya petang tadi, Mohd Redzuan berkata, kerajaan akan memastikan apa saja impak akan dimasukkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi.
“Yang pastinya kita akan kenal pasti sektor tertentu yang mengalami kesukaran serius,” katanya.