Belum reda daripada wabak COVID-19 yang dikatakan berasal dari Wuhan, kini China telah melaporkan terdapat kes manusia yang dijangkiti selsema burung H10N3 pertama di dunia.
Seorang lelaki dijangkiti H10N3
Virus berkenaan kebiasaannya hanya menjangkiti ternakan seperti ayam dan juga itik, namun, pihak berkuasa kesihatan mengatakan bahawa risiko berlakunya wabak tersebut berskala besar adalah ‘sangat rendah’.
Menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional China (NHC), seorang lelaki berusia 41 tahun dari Jiangsu telah disahkan dijangkiti strain selsema burung berkenaan. Lelaki berkenaan mengalami beberapa gejala sebelum dia dimasukkan ke hospital pada 28 April lalu.
Hasil siasatan mendapati bahawa terdapat lelaki berkenaan telah dijangkiti strain virus H10N3. Walau bagaimanapun, pihak hospital masih tidak dapat mengenal pasti bagaimana lelaki berkenaan boleh dijangkiti virus berkenaan.
Keadaan pesakit stabil dan dia dibenarkan untuk keluar dari hospital. Lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang kontak rapat yang berisiko dan tiada lagi kes kedua dikesan selepas itu.
H10N3 adalah virus selsema burung
H10N3 merupakan virus selsema burung. Strain tersebut mempunyai ciri-ciri kebolehjangkitan yang rendah serta tidak terlalu teruk dan risiko untuk menjangkit adalah sangat rendah juga.
Strain ini juga boleh membunuh burung liar dan juga ternakan unggas seperti ayam dan itik. Ianya boleh tersebar melalui udara antara burung liar dan juga ternakan unggas seperti selsema biasa.
Meskipun varian selsema burung ini mempunyai kebolehjangkitan yang berbeza, namun ia berpotensi untuk mencetuskan penularan wabak dan kebiasaannya menjangkiti pekerja ladang ternakan ayam dan itik.
Sumber : Reuters , Wio News, ohbulan