Susulan penularan wabak COVID-19 semakin meningkat, kerajaan menetapkan hanya seorang sahaja dibenarkan keluar rumah untuk urusan penting atau beli barangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu sidang media tengah hari tadi. Ujarnya lagi, mereka hanya dibenarkan keluar untuk pembelian barangan keperluan dan ubat-ubatan.
Katanya lagi, jika terpaksa membawa orang atau ahli keluarga lain ianya bergantung kepada budi bicara pihak polis.
“Yang dibenarkan keluar untuk beli barang keperluan atau ubat-ubatan, hanya seorang atau ketua keluarga, itu panduan asas.
“Kalau terpaksa membawa orang, dia kena beri penjelasan kepada pihak polis, dan itu atas budi bicara. Tapi secara dasar, hanya seorang boleh dibenarkan.
“Tapi misalnya berlaku kematian, dan ini perlu dijelaskan kepada pihak polis,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengulasi gesaan supaya semua pihak mengurangkan pergerakan di luar rumah dan hanya keluar bila perlu. Jika terpaksa keluar, ikuti garis panduan yang dikeluarkan oleh KKM pastikan cuci tangan dan jaga jarak dengan individu lain.