Covid-19: Kelantan tidak teragak agak laksana PKPB

Posted on

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan memutuskan menguatkuasakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan serta-merta bermula hari ini melibatkan penduduk di dalam Kluster Halban.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan , Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr. Izani Husin berkata, perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat JKKN Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob.

Katanya, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keadaan semasa bagi mengawal kluster itu merebak.

Beliau berkata, kluster tersebut melibatkan mereka yang berada di kelompok madrasah dan mereka akan dikuarantin di kawasan itu sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.

“Bagi kluster Seragam Chepa, syarikat telah bersetuju untuk menutup operasi kilang sementara. Mereka telah melakukan ujian swab bagi memastikan penularan wabak dapat dikawal.

“Buat masa ini, kita cuba kawal keadaan, namun sekiranya kawalan ini tidak berjaya, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat JKKN di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Berdasarkan rekod, sehingga semalam, kluster Halban dikesan melibatkan seramai 99 individu yang telah disaring dengan 29 daripadanya telah dikesan positif Covid-19.

Izani berkata, kerajaan negeri juga bersetuju penguatkuasaan diperketatkan dari semasa ke semasa meskipun tiada sebarang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

“Oleh itu, hanya 50 orang sahaja dibenarkan hadir ke majlis kenduri untuk satu-satu masa berbanding lebih 100 orang dibenarkan sebelum ini.

“Permohonan untuk mengadakan majlis juga perlu dibuat melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM). Penganjuran majlis juga bermula dari pukul 12 tengah hari sehingga 4 petang sahaja dan hanya boleh dihadiri orang dewasa,” katanya.

Join Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.