Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di tiga perkampungan di mukim Bunut Susu, di Pasir Mas, Kelantan bermula Ahad sehingga 22 Mei.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga kampung itu adalah Kampung Paya Ular, Kampung Tualang, Kampung Bechah Palas, selepas menyaksikan kenaikan kes mendadak sementara kadar positif jangkitan virus itu juga tinggi.
“Sehingga kini, sebanyak 120 kes positif direkodkan di tiga perkampungan itu iaitu 42 kes di Kampung Paya Ular, Kampung Tualang (26 kes) dan Kampung Bechah Palas pula 52 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan pengesanan awal kes serta mencegah penularan jangkitan ke kampung berhampiran.
Ismail Sabri berkata, tiga lokaliti PKPD di Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat, Selangor dan Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah, ditamatkan masing-masing hari ini dan esok.
Satu lagi lokaliti katanya, membabitkan PKPD di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan yang dijadualkan tamat 16 Mei ini, namun diawalkan kepada hari ini.
“Sebanyak 866 ujian saringan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan 431 daripadanya disahkan positif COVID-19. KKM juga mendapati berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif menerima rawatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 486 lagi individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), membabitkan seramai 473 individu dikompaun manakala 13 lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (183); aktiviti pusat hiburan (136); tidak memakai pelitup muka (73); tiada penjarakan fizikal (15) dan Lain-lain, 81 kes.
“Kerajaan sudah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya meningkatkan pemantauan pematuhan SOP di negeri dan kawasan hotspot yang dikenalpasti di bawah sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).
Mengulas Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 21 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selain merampas 10 kenderaan darat.
Bagi ujian saringan kepada pekerja asing, katanya seramai 140 warga asing menjalani ujian saringan semalam dan daripada jumlah itu, seorang didapati positif COVID-19.
“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 692,708 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19 yang membabitkan 35,824 majikan,” katanya.
sumber : Berita Harian Online