Dah Dapat Dividen, Jangan Lupa Zakat. Ini Cara Kira Zakat ASB Oleh PPZ-MAIWP

Posted on

Dah Dapat Dividen, Jangan Lupa Zakat. Ini Cara Kira Zakat ASB | Awal tahun ni, kebanyakan kita akan update akaun simpanan tahunan, check dividen dan baki terkini kewangan. Bagi mereka yang cukup haul dan mencapai nisab yang ditetapkan, maka wajiblah simpanan tersebut dizakatkan.

Ramai yang masih keliru dan kurang tahu tentang zakat ASB kan? Ini Cara Kira Zakat ASB Oleh PPZ-MAIWP

Cara Kira Zakat ASB

Mari kita sama-sama baca penjelasan yang terperinci oleh Pusat Pungutan Zakat ini, siap dengan contoh kiraan sekali.

PENERANGAN TERPERINCI ZAKAT ATAS PELABURAN ASB

Sebagaimana yang umum mengetahui, baru-baru ini Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah mengumumkan dividen dan bonus bagi Amanah Saham Bumiputera untuk tahun 2019 adalah sebanyak 5.50 sen seunit.

Justeru, ramai yang bertanya khasnya mengenai zakat ke atas pelaburan ASB. Adakah dikenakan ke atas pelaburan pokok atau hasil dividen sahaja? Ataupun kedua-duanya sekali?

Dalam merungkai persoalan ini elok kita merujuk kepada kebiasaan masyarakat di Malaysia dan beberapa contoh kaedah pelaburan yang dibuat agar lebih difahami satu persatu berdasarkan situasi masing-masing.

ASB HALAL ATAU HARAM?

Bagi yang telah melabur dan memilih untuk membuat pelaburan di ASB, soalan ini sepatutnya tidak lagi timbul. Ketika pelaburan dibuat, secara logiknya anda sendiri telah bersetuju dengan pandangan dan fatwa yang mengharuskan pelaburan ASB. Jika tidak, mana mungkin pelaburan itu dipilih dan diteruskan.

Bagi yang masih mempunyai keraguan dan ingin mencari maklumat tambahan serta bacaan lebih lanjut mengenai hukum pelaburan ASB dan seumpamanya, maka boleh merujuk ke pautan berikut:

http://www.pnb.com.my/pdf/Bukuharus.pdf atau yang lebih ringkas di

http://emuamalat.islam.gov.my/…/03/hukumpelaburanasn-asb.pdf.

Ini Cara Kira Zakat ASB Oleh PPZ-MAIWP

ZAKAT KE ATAS PELABURAN ASB

Zakat diwajibkan ke atas pelaburan di ASB. Ini adalah bersesuaian dengan kaedah fiqh dalam ibadah zakat yang berbunyi كل مال نام فهو وعاء للزكاة yang bermaksud setiap harta yang berkembang adalah sumber untuk zakat.

Pelaburan yang dibuat di ASB, adalah bertujuan untuk mengembangkan harta dan mendapat pulangan berupa keuntungan yang diperolehi menerusi dividen, bonus dan pendapatan ASB setiap tahun.

Oleh kerana nilai unit pelaburan di ASB adalah Ringgit Malaysia, maka kadar zakatnya adalah 2.5%.

Ini berdasarkan hadith Nabi S.A.W:

“Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya lima dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu mata wang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab).

Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.”

(Riwayat Abu Dawud dan al-Baihaqi)

Begitu juga sebuah hadis yang lain:
“Zakat perak, ialah seperempat puluh dari nilai harga perak itu”

(Riwayat Imam al-Bukhari)

Untuk makluman, nilai setengah dinar (0.5 dinar) itu adalah menyamai 2.5 peratus (atau 1/40 bahagian) ke atas keseluruhan 20 dinar atau 200 dirham berkenaan (2.5% X 200 dirham > 5 dirham).

Ini Cara Kira Zakat ASB Oleh PPZ-MAIWP

Baca : Cara Semak Baki Akaun ASB Online di MyASNB

KAEDAH PENGIRAAN ZAKAT ASB

Pengiraan zakat ke atas pelaburan ASB boleh dikategorikan berdasarkan beberapa kaedah dan situasi seperti berikut:

*Catatan: Nisab zakat bagi tahun 2019 di Wilayah Persekutuan adalah RM 13,968.

(Bermakna simpanan yang melebihi RM13,968 dan cukup setahun wajib dizakatkan. Biasanya akan tengok pada jumlah simpanan terendah dalam penyata akaun.)

1. PELABURAN DIBUAT MENGGUNAKAN WANG ATAU MODAL SENDIRI

Bagi situasi ini pengiraan zakat adalah berkadar langsung dengan jumlah pelaburan dan keuntungan (dividen, bonus dan pendapatan ASB) yang diperolehi. Formulanya adalah seperti berikut:
[Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan + Dividen/ Pendapatan ASB] x 2.5% (Kadar Zakat)

Contoh (i):
RM 200,000 (Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan) + RM 11,000 (Dividen / Pendapatan ASB 2019 iaitu 5.50%)
= RM 211,000 x 2.5%
= RM 5,275
Justeru, zakat yang wajib ditunaikan adalah sebanyak RM 5,275

Contoh (ii):
RM 15,000 (Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan) + RM 825 (Dividen/Pendapatan ASB 2019 iaitu 5.50%)
= RM 15,825 x 2.5%
= RM 395.62
Justeru, zakat yang wajib ditunaikan adalah sebanyak RM 395.62

2. PELABURAN DIBUAT DENGAN FASILITI PEMBIAYAAN ASB DENGAN PIHAK BANK

Bagi situasi ini, pengiraan zakat hanya akan dikenakan ke atas dividen atau keuntungan yang diperolehi sahaja. Adapun bagi modal pelaburan, tidak dikenakan zakat ke atasnya kecuali setelah berlakunya penebusan sijil pelaburan ataupun setelah selesai tempoh bayaran balik pembiayaan.

Formula kiraan adalah seperti berikut:
Dividen / Pendapatan ASB x 2.5%
Contoh kaedah kiraan seterusnya cuba meraikan beberapa bentuk kaedah pelaburan yang lazimnya diamalkan oleh para pelabur ASB dengan menggunakan fasiliti pembiayaan ASB.

Kes 1: Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi TIDAK DIGUNAKAN untuk membuat pembayaran semula pembiayaan.

Contoh:
Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan]
Dividen/ Pendapatan ASB 2019: 5.50% dari RM 200,000 = RM 11,000
= RM 11,000 x 2.5%
= RM 275

Justeru, zakat yang dikenakan adalah RM 275

Dalam contoh ini, nilai dividen yang diperolehi tidak melebihi nisab tahunan zakat pada tahun 2019 iaitu RM 13,968.

Mengapa dikenakan zakat juga?

Hal ini memerlukan sedikit perincian. Dalam contoh di atas, pendapatan dari ASB itu dicampurkan dengan kesemua pemilikan harta individu yang telah cukup haulnya untuk dizakatkan. Maka kecukupan nisab dikira secara relatif dengan dicampurkan harta-harta lain yang berada di bawah pemilikan individu terbabit.

Namun, jika individu yang terbabit tidak mempunyai harta-harta lain yang cukup haul dan sedia dizakatkan, maka zakat TIDAK DIKENAKAN ke atas dividen/pendapatan ASB yang tidak mencukupi nisab itu tadi. Kaedah yang sama juga terpakai ke atas nilai-nilai lain di bawah nilai pelaburan maksimum.

Kes 2: Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi DIGUNAKAN bagi membuat pembayaran semula pembiayaan.

Dalam kes ini, zakat hanya akan dikenakan ke atas baki atau lebihan dividen/pendapatan ASB yang masih ada selepas ditolak jumlah pembayaran semula pembiayaan.

Contoh (i):
Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan]
Dividen/ Pendapatan ASB 2019: 5.50% dari RM 200,000 = RM 11,000

Jumlah pembayaran semula pembiayaan selama setahun (dikira berdasarkan tempoh ansuran bulanan pembiayaan pelaburan ASB selama maksimum 30 tahun)
= RM 1,099 (sebulan) x 12 (bulan) = RM 13,188
= RM 11,000 (dividen/pendapatan ASB) – RM 13,188 (bayaran semula pembiayaan)
= RM (2,188)

Oleh kerana, bayaran semula pembiayaan melebihi jumlah dividen yang diterima, maka TIDAK ADA ZAKAT dikenakan. Juga tidak dikenakan zakat jika jumlah dividen menyamai jumlah pembayaran semula pembiayaan.

Ini Cara Kira Zakat ASB Oleh PPZ-MAIWP

3. PEROLEHAN SELEPAS PENYERAHAN SEMULA SIJIL PEMBIAYAAN PELABURAN ASB

Sebahagian pelabur menggunakan kaedah membuat pembiyaan pelaburan ASB dan dalam tempoh tertentu membuat penyerahan semula sijil (surrender) dan menyelesaikan bayaran baki pembiayaan untuk mendapatkan keuntungan dan pulangan.

Kes 1: Penyerahan semula sijil pelaburan lebih awal sebelum tamat tempoh pembiayaan.

Contoh (i) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun ke-5 dalam tempoh pembiayaan selama 25 tahun:
[Pulangan tunai selepas penyerahan sijil pelaburan + dividen tahun semasa ASB] x 2.5%
[RM 22,002.61 (lebihan tunai penyerahan sijil pelaburan bernilai RM 200,000) + RM 11,000 (dividen tahun semasa ASB)] = RM 33,002.61
= RM 33,002.61 x 2.5%
= RM 825.06
Zakat dikenakan adalah RM 825.06

Contoh (ii) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun akhir pembiayaan / selepas tamat tempoh pembiayaan 25 tahun.
[RM 200,000 (nilai penyerahan sijil pada tahun akhir pembiayaan/selepas tamat tempoh pembiayaan) + RM 11,000 (nilai dividen semasa ASB)] = RM 211,000
= RM 211,000 x 2.5%
= RM 5,275

Zakat dikenakan adalah sebanyak RM 5,275

Dengan penjelasan ini, diharapkan agar dapat memberikan manfaat dan kefahaman yang jelas kepada para pelabur dan muzakki.

Semoga Allah Ta’ala menerima segala amalan dan kebaikan yang dilakukan dan menjadikannya sebagai pemberat mizan di Hari Pembalasan.

Unit Syariah PPZ-MAIWP

Jom kira & bayar zakat secara online di:

https://kira.zakat.com.my
Sumber: Unit Syariah PPZ-MAIWP, Pusat Pungutan Zakat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.