Daus AF8 sah bercerai?

Posted on

BEKAS peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) Daus, 31, mengesahkan sudah bercerai talak satu dengan isterinya, Syaza Shamimi Jalaludin Khan, 32, di Mahkamah Syariah Bintulu, pagi ini.

Daus atau Muhd Shahril Firdaus Eli ketika dihubungi mengakui rumah tangganya yang berusia lima tahun gagal diselamatkan lagi dan perceraian adalah jalan terbaik buat mereka.

“Ya kami sudah bercerai hari ini. Sepatutnya saya nak merahsiakan dulu perkara ini daripada semua orang kerana ia bukan benda baik.

“Lagipun saya tak nak ia seolah-olah menggalakkan orang lain bercerai. Bagaimanapun jodoh dan kebahagiaan kami hanya setakat ini dan kami kena akur.

“Mungkin persefahaman antara kami renggang kerana hubungan jarak jauh. Saya di Bintulu mengendalikan perniagaan antaranya pembekalan ubat untuk farmasi, manakala dia tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur,” katanya kepada Harian Metro.

Daus berkahwin dengan Syaza pada 7 Jun 2013 dan kini dikurniakan tiga anak iaitu Delysha Senzela, 5; Myesha Sehrish, 3, dan Ayesha Sheraz yang kini berusia lebih dua minggu.
Menurutnya, dia enggan berkongsi panjang lebar apa yang berlaku kerana mahu menjaga hati semua pihak.

“Sebelum ini saya sibuk dengan perniagaan dan memang fokus pada keluarga. Sekarang saya berhasrat nak buat ‘comeback’ dalam seni.
“Ia turut menjadi antara faktor perhubungan kami renggang sejak tahun lalu. Faktor ekonomi membuatkan saya kena cari rezeki lebih dan membuatkan kami terpaksa berjauhan.
“Dari situlah wujud krisis dan bergaduh sehingga membawa kepada perkara ini,” katanya.

Daus berkata, perceraian berlaku dalam suasana lancar dan mereka tidak menyalahkan antara satu sama lain.

“Alhamdulillah, kami terima hakikat dan berbaik demi anak. Saya sedar apa yang berlaku akan membuka ruang buat masyarakat mengecam saya.

“Tambah lagi isteri masih dalam pantang. Saya bersedia untuk kena kecam kerana hanya kami serta keluarga masing-masing yang tahu perkara sebenar.

“Masing-masing ada salah dan sisi ego yang menyebabkan berlakunya penyelesaian begini,” katanya.

Dalam pada itu, Daus menolak faktor kewujudan orang ketiga sebagai punca perceraian mereka.

“Benda itu tak wujud. Tapi tak dinafikan saya ramai kawan. Masalah ini berlaku kerana sebelum ini pun saya ramai peminat dan melayan mereka hingga membuatkan bekas isteri kecil hati.
“Saya tahu saya cari rezeki yang halal untuk keluarga. Tapi apabila dah tiada persefahaman, jalan perpisahan adalah cara terbaik.

“Siapa yang tak sedih tapi saya kena hadapi kenyataan,” katanya.

Katanya, bekas isterinya akan menetap di Bintulu selepas ini bersama anak, manakala dia pula akan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk aktif semula dalam seni.

“Bekas isteri akan mengendalikan perniagaan di sana. Saya pula selain menyanyi dan akan mengendalikan perniagaan yang baru diceburi iaitu pembekalan gas silinder,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.