Seorang warga emas terpaksa melupakan panas terik matahari demi mencari rezeki untuk menyara anak lelakinya yang kurang upaya.
Warga emas yang mesra disapa Pakcik Dam itu akan menolak trolinya setiap hari di sekitar kota raya Bangkok sambil menjual ais kacang kepada orang ramai.
Menurut Pakcik Dam, hasil jualannya itu sebahagiannya akan digunakan bagi menampung kos rawatan anaknya di hospital.
Katanya, dia terpaksa menolak trolinya sejauh enam kilometer setiap hari untuk menjual ais kacang yang berharga 10 bhat (RM1.38) semangkuk berikutan kediamannya yang terletak agak jauh dari bandar.
Difahamkan, Pakcik Dam hanya tinggal berdua bersama anaknya selepas isterinya bertindak keluar dari rumah selepas mengetahui anaknya itu cacat fizikal ketika usianya lapan bulan.
Sejak dari itu, tugas menguruskan anaknya terletak di bahu Pakcik Dam bermula dari menyediakan makanan sehinggalah membersihkan najis anaknya kerana dia tidak mampu menguruskan dirinya sendiri.
Kisah Pakcik Dam menjadi viral di media sosial menyebabkan perniagaan ais kacangnya semakin laris dari hari ke hari.