VIDEO seorang murid perempuan Tahun Satu yang sedang menangis akibat ‘disoal-siasat’ ibunya telah menarik perhatian warga maya.
Menerusi rakaman itu, Nur Amira Amani Mohd Ridwan mengalirkan air mata sambil menjawab pertanyaan ibunya, Suzana Dayanna Ali.
Video itu kemudiannya dihantar kepada bapa Amira, Mohd Ridwan Alias sebelum dimuat naik ke Facebook sehingga menerima lebih 100,000 tontonan.
Menurut Ridwan, isterinya menyoal Amira berikutan dia ada meminta wang untuk membeli buku, baru-baru ini.
Namun, wang RM15 yang diberikan kepada anak bongsu daripada tiga beradik itu telah habis digunakannya untuk membeli makanan di kantin sekolah.
Amira bersama ibu, abang dan kakaknya.
“Amira memang jenis yang kelakar, dia seperti penghibur dalam keluarga kami. Abang dan kakak dia pun suka menyakat dia.
“Hari sebelum tu dia minta duit nak beli buku mewarna, tapi masa nak ke sekolah esoknya, tak ada pun buku tu.
“Sebab tu isteri saya tanya dia sambil rakam video, lepas tu dia hantar kepada saya,” ujar Ridwan sewaktu dihubungi mStar Online, Rabu.
Menurut bapa berusia 33 tahun itu, dia tidak menyangka perkongsian video secara suka-suka itu akan menerima reaksi luar biasa daripada netizen.
Malah, dia juga menepis dakwaan segelintir individu yang menyifatkan tindakan memuat naik video tersebut sebagai perkara yang memalukan anaknya.
“Saya upload suka-suka untuk kenangan. Kalau telefon hilang, masih ada di Facebook. Saya pun kalau stress akan tengok balik video-video dia.
“Video tu pun bukannya d3ra atau pkul dia, kami memang selalu bergurau. Ada sesetengah orang, semua benda tak kena. Kalau tak suka, boleh scroll dan tengok video lain,” katanya lagi.
Menurut Ridwan, Amira yang menuntut di sebuah sekolah di Kampung Jawa, Klang, biasanya dibekalkan dengan wang saku sebanyak RM3 sehari.
Setiap hari, dia dan isterinya akan bergilir-gilir untuk menghantar dan menjemput Amira ke sekolah.
Menerusi video itu, Amira mengaku membeli dua hidangan chicken chop, satu mee dan aiskrim menggunakan wang RM15 yang sepatutnya digunakan untuk membeli buku.
Sambil teresak-esak menangis, gelagat Amira yang menjawab pertanyaan ibunya dengan jujur berjaya mencuit hati netizen.
Malah, rata-rata pelayar Facebook yang terhibur dengan video itu menyifatkan Amira sebagai anak yang comel dan bijak.
“Alololo sedih sangat tu. Cute nya lahaii. Pasal makan takpe sayang. Tak ada siapa nak marah pun. Hehehe.. jangan buat berjoli sudah,” tulis Yaza Nasuha.
“Alah comelnya lah adik ni. Sedap sangat sampai makan tiga mangkuk,” tulis seorang lagi netizan.
sumber: mstar via Gengjoyah
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!