Ditanya Adakah Kek@lahan Disebabkan Aura Tun M Sudah Hilang, Ini Jawapan Wan Azizah

Posted on

KEKALAHAN Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih malam ini, memberi mesej jelas bahawa isu rakyat perlu diberi keutamaan.

Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pucuk pimpinan parti harus bersama berbincang dan menyelesaikan setiap isu diutarakan serta memberi penerangan kepada rakyat mengenai apa dilaksanakan kerajaan.

“Kita perlu ambil iktibar dengan apa yang hendak kita lakukan tidak kiralah sama ada pilihan raya kecil atau besar (Pilihan Raya Umum).

“Kita (kerajaan) perlu dengar apakah isu (rakyat) dan kita mesti terangkan dengan mendalam.

“Kita ada sistem demokrasi dan rakyat ada pilihan. Kita mahukan rakyat tahu kita sudah cuba sedaya upaya untuk rakyat,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Port Dickson, malam ini.

Turut hadir Ketua Umum PH yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Anwar turut mengakui kekalahan PH pada PRK DUN Semenyih itu berikutan ada beberapa masalah yang belum sempat diselesaikan.

Beliau berkata, keputusan terbabit memberi gambaran mengenai perasaan rakyat terhadap kerajaan ketika ini.

“Saya fikir ia memberi sedikit gambaran tentang perasaan rakyat, terutama sentimen disuarakan oleh masyarakat Melayu yang harus diambil kira.

“Namun, kita harus teruskan tugas dengan baik dan saya yakin jika diberikan sedikit masa rakyat akan dapat faham mengapa kita ambil langkah-langkah yang sedang diambil dan keterbatasan kita dalam beberapa langkah pelaksanaan,” katanya.

Ditanya sama ada kekalahan PH itu disebabkan oleh aura Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir hilang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Anwar berkata, tafsiran itu tidak sesuai.

Gambaran perasaan rakyat, sentimen Melayu

Barisan Nasional percaya kemenangan calonnya Zakaria Hanafi di Semenyih menandakan wujudnya sentimen jelas rasa tidak puaas hati rakyat terhadap prestasi Kerajaan Pakatan Harapan.

Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, demografi Semenyih boleh memberi gambaran secara keseluruhan perasaan majoriti rakyat yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, terutamanya mengenai janji manifesto pilihan raya umum yang tidak ditepati.

“Tapi real test case adalah Semenyih. Ada penduduk luar bandar, semi bandar, dan dalam bandar. Dan majoritinya pengundi Melayu. Jadi kemenangan ini amat baik, menggambarkan bahawa ia merupakan referendum rakyat untuk menyatakan bahawa rakyat berasa kesal dan tidak puas hati di atas prestasi kerajaan PH ini, setakat ini.

“Rakyat tak puas hati, terutamanya berkenaan janji ditaburkan, yang melenakan pengundi semasa PRU14 dahulu,” katanya kepada sidang media di sini Sabtu malam.

Kemenangan BN tanda referendum rakyat terhadap PH – Mohamad Hasan

Selain itu, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, kejayaan itu juga hasil kerjasama politik bersama Pas, dan ia jelas mendapat reaksi positif dari kalangan pengundi Melayu Islam, yang menjangkau lebih 70 peratus daripada keseluruhan pengundi di sini.

Katanya lagi, kerjasama itu akan diteruskan bersandarkan kepentingan bersama, bukan sahaja untuk kedua-dua parti, tetapi juga menjadi suara pembaangkang yang kuat demi membela kepentingan rakyat

“Bolehlah kita katakan bahawa kerjasama ini akan datangkan faedah kepada kedua pihak. Tapi apa yang kita rangka, kerjasama atas kepentingan bersama, khusus orang Melayu, agama Islam, dan juga kita nak lihat negara ini diurus dengan baik.

“Kita nak check and balance, kerana jika tak ada banyak suara pembangkang boleh imbangi kerajaan begitu kuat, dia tak baik kepada rakyat,” katanya lagi.

PH hormati keputusan pengundi Semenyih – Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan dibuat pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, namun menegaskan kedudukan kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Pusat masih kukuh.

Bagaimanapun, katanya, gambaran perasaan rakyat terutamanya sentimen yang disuarakan masyarakat Melayu harus ambil kira dan tugas mesti diteruskan dengan baik.

“Saya yakin jika diberi sedikit masa, rakyat akan faham mengenai langkah-langkah yang diambil dan keterbaatasan dalam pelaksanaan program.

“Saya berpendapat Malaysia harus kekal dengan semangat Perlembagaan yang menjanjikan kedudukan Islam dan Melayu tetapi mesti tegas dalam aspek keharmonian kaum,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan perayaan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Port Dickson di sini malam ini.

Menurut Anwar, kerajaan PH juga harus mewakili sentimen, keperluan dan aspirasi semua kaum serta rakyat di negara ini.

Beliau juga menangkis andaian bahawa kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali kedua berturut-turut selepas di Cameron Highlands menandakan PH di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad semakin hilang sokongan rakyat.

“Tafsiran seperti itu tidak sesuai kerana Parlimen Cameron Highlands bukan kerusi yang dipegang oleh PH (sebelum PRK lalu). (PRK DUN) Semenyih memberi gambaran ada beberapa masalah yang belum sempat kita selesaikan.

“Kalau hendak kata semua kalah pun tidak betul kerana (PRK Parlimen) Port Dickson kita menang,” ujarnya.

Sumber dari Harian Metro dan Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.