Doktor Dijangkiti COVID-19 Tapi Makin Sembuh Kongsi Simptom Demi Simptom Jangkitan Dialaminya

Posted on

Sebanyak lebih 189,000 kes positif COVID-19 telah dicatatkan di seluruh dunia dengan lebih 7,000 kematian.

Dalam jumlah berkenaan, lebih 80,000 pesakit telah disahkan sembuh, salah seorangnya seorang pakar bius di sebuah Hospital Universiti Oxford, UK, Chris Gough.

Dalam perkongsian beliau di laman Twitter, Chris berkongsi simptom-simptom yang beliau alami setelah disahkan positif hinggalah semakin pulih dari wabak itu. Perkongsian tersebut mendapat lebih 229 ribu tanda suka dan lebih 98 ribu ulang kicau.

“Disebabkan sekarang saya semakin pulih dari COVID-19, saya ingin kongsikan gejala dan pengalaman saya, andai ia boleh membantu sesiapa.

“Saya rasa agak teruk beberapa hari sebelum ini, tapi akhirnya saya semakin baik. Saya bercakap hanya dari pengalaman sendiri sebagai seorang pesakit, bukan seorang doktor,” tulis beliau.

Hari pertama

Seharian menggigil dan berpeluh, Chris mengaku mula demam dengan suhu badan mencecah 38.5 °C. Dia turut mengalami kepenatan melampau, hilang selera makan dan sakit seluruh badan.

Tambah Chris, dia mula batuk pada waktu tengah hari.

“Bukan batuk yang teruk, tapi (cukup) untuk jejaskan produktiviti.”

Pada masa yang sama, saudara lelakinya juga menunjukkan gejala yang serupa.

Hari kedua

Ujarnya, dia mula berasa sakit kepala yang sesekali datang. Seluruh badannya masih terasa sakit, lemah dan tidak mempunyai selera makan.

“Tak bertenaga. Asyik terbaring. Masih berpeluh dan menggigil, tapi tidak seteruk semalam. Batuk semakin ketara..”

Hari ketiga

Chris berkata, dia berasa semakin teruk pada hari ketiga khususnya sakit kepala dan kepenatan yang menjadi-jadi.

Walaubagaimanapun katanya, seleranya bertambah baik (namun masih tidak normal) serta kurang batuk pada hari ketiga.

Hari keempat

Ujar Chris, batuk dan sakit kepalanya semakin baik pada hari keempat. Walaubagaimanapun, seluruh badannya masih sakit disertai rasa penat berterusan dan selera yang berkurang.

Sementara itu, saudara lelakinya juga semakin baik, akan tetapi teman wanitanya pula mula menunjukkan gejala.

Hari kelima
Biarpun masih penat, Chris tidak lagi mengalami sakit kepala. Seleranya juga meningkat hingga 1/2 atau 2/3 dari kebiasaan.

Hari keenam
“Rasa sedikit lebih baik.”

Beliau turut meninggalkan pesanan bagi sesiapa yang mempunyai gejala dikongsikan (termasuk demam melebihi 37.8°C atau batuk) agar mengkuarantin secara suka rela dan mematuhi pesanan penjagaan kesihatan.

Sumber: Chris Gough

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.