Dr Maza Nasihat Ebit Lew Jangan Simpan Dalam Hati, Teruskan Beri Bantuan

Posted on

Hangat diperkatakan apabila Ustaz Ebit Lew membuat keputusan untuk berhenti daripada mengagih bantuan kepada mereka yang memerlukan buat sementara waktu selepas dipanggil oleh pihak polis selepas menerima aduan daripada individu tidak dikenali.

Bagaimanapun, rata-rata netizen terus tampil memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada pendakwah bebas itu agar tidak cepat berputus asa dari melakukan amal kebajikan serta membantu mereka yang memerlukan.

Perkara itu juga turut mendapat perhatian daripada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menasihati Ustaz Ebit agar tidak perlu simpan dalam hati dengan segala kritikan dan kecaman.

Beliau berkata sudah menjadi lumrah apabila ada dikalangan mereka yang iri hati melihat manusia melakukan perkara kebaikan. Katanya lagi, tidak semua orang akan berpuas hati atas segala perkara dilakukan orang lain.

“Ebit Lew tidak perlu nak simpan dalam hati sangat benda yang macam itu. Jika dia ikhlas membantu orang, pasti tidak ada masalah dan jangan disimpan kerana di dalam dunia ketika ini memang sudah lumrahnya macam itu.

“Sudah lumrah apabila manusia melihat seseorang itu melakukan perkara yang baik, pasti mereka akan memberikan pandangan atau kritikan. Malah penyanyi yang tugasnya menghiburkan orang pun tidak terlepas dari dikritik.

Dalam pada itu, Dr Maza turut meminta orang ramai agar tidak mempertikaikan keikhlasan seseorang yang melakukan amal kebaikan dengan memberi bantuan terhadap orang lain kerana keikhlasan merupakan urusan dan rahsia Allah SWT dengan hambanya.

“Orang memberi sedekah, bukan urusan kita untuk mengetahui sama ada pemberi itu ikhlas atau tidak kerana itu antara dia dan Allah. Ikhlas ini rahsia, jika seseorang itu ikhlas dia memperoleh pahala dan jika sebaliknya dia tidak dapat pahala tetapi dapat dosa,” katanya.

Menurut Dr Maza lagi, beliau yakin Ustaz Ebit ikhlas membantu orang lain dan merupakan contoh individu memberi rezeki lebih yang menyumbang kepada orang lain.

Join Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.