Dua maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian kemalangan jalan raya di dua lokasi berasingan di Jalan Lojing dan Jalan Chiku di sini petang semalam.
Dalam kejadian pertama yang berlaku pada pukul 4.50 petang, pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Chung Kok Fong, 32, maut selepas tercampak keluar dari kenderaan di Kilometer 86, Jalan Gua Musang-Lojing.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian itu berlaku ketika kenderaan yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari Lojing menghala ke Gua Musang.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan masuk sebelah kanan jalan sebelum terbalik di dalam semak.
“Penumpang pikap yang merupakan seorang warga Bangladesh yang dikenali sebagai Salim, 41, cedera pada bahagian kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Choon Foo berkata, kemalangan kedua pula berlaku di Jalan Chiku di sini pada pukul 1.50 petang melibatkan dua buah motosikal.
Katanya, dalam kejadian itu, mangsa, Hasnah Daud, 40, yang menunggang motosikal dengan membawa anaknya berusia empat tahun dipercayai dirempuh sebuah lagi motosikal ketika mengubah laluan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Anaknya dan seorang lagi penunggang motosikal turut cedera kini menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua mayat mangsa yang terlibat dalam dua kemalangan itu dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.
sumber : Kosmo Online