Dua pemandu maut, kereta bertembung

Posted on

DUA lelaki maut selepas kereta yang dipandu masing-masing bertembung di Kilometer 95.9 Jalan Kota Bahru-Gua Musang dekat Laloh, Kuala Krai, hari ini.

Kejadian berlaku pada 1.50 tengah hari menyebabkan Ng Kein Keong, 44, yang memandu Toyota Vios dan Mohamad Zariff Izree Mat, 28, meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu Ng dari arah Gua Musang hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Kereta mangsa kemudian bertembung dengan Honda City dipandu Mohamad Zariff Izree yang menyebabkan kedua-duanya parah dan meninggal dunia.

“Terdapat tiga penumpang dalam Honda City dengan dua daripadanya patah tangan dan kaki, manakala bayi berusia enam bulan tidak cedera,” katanya.

Suzaimi berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan dan mangsa maut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat pada 9 malam.

“Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan selain sampel darah kedua-duanya diambil,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Pegawai Bomba Kanan I (PBKI) Mohd Razani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.08 petang dan tiba di lokasi kejadian 2.37 petang.

“Seramai 10 anggota daripada BBP Kuala Krai bergegas ke lokasi kemalangan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Mereka kemudian diserahkan kepada polis dan operasi tamat pada 3.57 petang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.