Masalah rambut gugur bukan sahaja dialami oleh kaum wanita, malahan masalah ini lebih sinonim dikaitkan dengan kaum lelaki.
Sesetengah lelaki mengalami keguguran rambut pada usia remaja dan awal dua puluhan, yang sekali lagi biasanya disebabkan oleh hormon. Oleh sebab hormon-hormon yang meningkat semasa akil baligh, ia menjadikan sesetengah lelaki pada usia remaja dan awal dua puluhan lebih berisiko kehilangan rambut mereka.
Ikuti kupasan yang dikongsi oleh Hello Doktor di bawah tentang perkara yang perlu dibuat dan ditinggalkan untuk mendapatkan rambut yang lebih sihat dan tebal.
Kandungan
- 1 Lelaki dan masalah keguguran rambut
- 2 Apa yang anda perlu lakukan?
- 3 1. Minum lebih banyak air
- 4 2. Jaga pemakanan anda
- 5 3. Elakkan stres dalam kehidupan seharian
- 6 4. Simpan rambut pendek
- 7 5. Jangan terlalu taksub dengan produk anti rambut gugur yang dijual di pasaran!
- 8 Apa yang anda perlu elakkan?
- 9 1. Elak untuk tidak membasuh rambut anda seperti biasa
- 10 2. Guna bahan kimia punca keguguran rambut
- 11 3. Elakkan guna sikat yang mempunyai gigi yang rapat dan kasar
- 12 4. Jangan gayakan rambut anda terlalu kerap
- 13 5. Jangan abaikan masalah keguguran rambut anda
Lelaki dan masalah keguguran rambut
Umur masih belum mencecah 30 tahun, tetapi rambut sudah semakin nipis.
Atas kepala pula, rambut tumbuh jarang-jarang hingga boleh nampak kulit kepala. Pasti perkara ini akan menimbulkan rasa gelisah di dalam hati.
Rambut merupakan aset nombor 1 lelaki. Dengan gaya rambut yang betul, lelaki boleh tampil yakin dan bergaya di khalayak ramai.
Namun, jika kaum Adam ini menghadapi masalah rambut, tidak mustahil individu tersebut boleh tenggelam dalam tekanan perasaan.
Menurut American Hair Loss Association, masalah keguguran rambut merupakan mimpi ngeri bagi lelaki. Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk merawat masalah keguguran rambut.
Seorang lelaki boleh berubah sepenuhnya akibat daripada tekanan perasaan yang berpunca daripada keguguran rambut. Tekanan perasaan ini boleh menjejaskan karier dan mencetuskan masalah dalam perhubungan.
Walau bagaimanapun, jika anda mengalami masalah rambut, ia bukan bermakna bahawa ini adalah pengakhiran bagi hidup anda.
Terdapat pelbagai rawatan yang boleh dicuba untuk mengatasi masalah keguguran rambut.
Namun, perkara yang anda boleh lakukan sekarang untuk kurangkan kadar keguguran rambut adalah dengan cara mengubah gaya hidup anda.
Apa yang anda perlu lakukan?
1. Minum lebih banyak air
Air sangat penting untuk memastikan setiap sel dalam badan berupaya untuk menjalankan tugas masing-masing. Cuba banyakkan minum air kosong dan tinggalkan minuman berkafein ataupun bergula.
2. Jaga pemakanan anda
Cuba amalkan diet yang lebih sihat. Makan lebih banyak protein seperti ayam dan daging. Selain itu, pastikan anda juga makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran ya!
3. Elakkan stres dalam kehidupan seharian
Stres merupakan salah satu punca utama keguguran rambut. Kurangkan stres dengan cara bersenam ataupun dengan melakukan aktiviti yang digemari.
4. Simpan rambut pendek
Rambut yang pendek lebih mudah dijaga. Selain itu, masalah keguguran rambut juga tidak akan nampak terlalu ketara jika anda berambut pendek.
5. Jangan terlalu taksub dengan produk anti rambut gugur yang dijual di pasaran!
Elakkan terpengaruh dengan iklan produk pelebat rambut di media sosial.
Anda tidak tahu apakah kandungan yang terdapat di dalam produk-poduk tersebut. Jangan bazir duit dan masa anda pada kaedah rawatan yang anda belum pasti berkesan!
Apa yang anda perlu elakkan?
1. Elak untuk tidak membasuh rambut anda seperti biasa
Rambut akan gugur dengan lebih banyak selepas membasuhnya – ini satu kenyataan yang tidak berasas.
Rambut anda akan menjadi lebih lemah dan gugur lebih banyak jika anda tidak membasuhnya langsung. Gunakan syampu yang sesuai dan basuh rambut sebanyak 2 -3 kali seminggu.
2. Guna bahan kimia punca keguguran rambut
Berhenti gunakan produk rambut seperti gel ataupun spray. Produk ini boleh membuatkan kulit kepala menjadi kering dan menyebabkan lebih banyak rambut gugur.
3. Elakkan guna sikat yang mempunyai gigi yang rapat dan kasar
Bertukarlah kepada sikat yang lebih jarang dan lembut. Memberus atau menyikat dengan terlalu agresif boleh menyebabkan lebih banyak rambut gugur dan putus.
Jangan terlalu kasar semasa menyikat rambut.
4. Jangan gayakan rambut anda terlalu kerap
Penggunaan alat penggaya rambut seperti pengering rambut boleh membuatkan rambut anda jadi semakin rapuh dan mudah putus.
5. Jangan abaikan masalah keguguran rambut anda
Kadang-kadang, masalah keguguran rambut boleh diselesaikan dengan cara mengubah gaya hidup seharian anda.
Oleh itu, penting untuk anda ambil tahu dan cuba dapatkan pendapat pakar tentang punca keguguran rambut yang anda alami. Mana tahu, masalah anda rupanya ada ubat!
Sumber: Hello Doktor