Seorang guru pasti tidak akan melupakan panggilan terakhir dengan ibunya yang meminta pertolongan sebelum wanita warga emas tersebut ditemui rentung di dalam rumah yang musnah terbakar di Kampung Losong Haji Su di sini semalam.
Zailah Jusoh, 47, berkata, dia mendengar jeritan ibunya, Fatimah Mohd., 79, meminta pertolongan dengan menyebut ‘tolong’ sebanyak enam kali sebelum talian panggilan telefon pada pukul 10.37 pagi itu terputus.
“Sebaik saya jawab panggilan itu, ibu menjerit tolong sebelum talian terputus tanpa sempat saya mengetahui apa yang terjadi. Mulanya ingatkan ayah (Jusoh Muda, 82) sakit atau pengsan.
“Risau dengan keadaan ibu dan ayah yang tinggal berdua, saya dan suami ke rumah keluarga dari kediaman kami di Kampung Kubang Tangga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Losong Haji Su di sini semalam.
Dalam kebakaran yang memusnahkan 100 peratus rumah diperbuat daripada kayu itu, Jusoh melecur kira-kira 30 peratus pada bahagian kaki dan badan.
Zailah yang merupakan anak kelapan daripada 11 beradik berkata, luluh hatinya sebaik tiba dan mendapati rumah keluarganya sedang marak terbakar, manakala bapanya pula melecur teruk akibat kebakaran itu.
Beliau berkata, tambah membuatnya fikirannya berkecamuk apabila dimaklumkan ibunya yang mengalami kepayahan berjalan akibat uzur terperangkap di dalam rumah tersebut.
“Saya dimaklumkan ayah cuba memapah ibu keluar rumah untuk menyelamatkan diri tetapi tidak berdaya akibat faktor usia.
“Badan ayah turut melecur disambar api sebelum diselamatkan penduduk kampung di bahagian tangga dan dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk menerima rawatan,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md. Hilman Ab. Rashid berkata, pihaknya dengan kekuatan 35 anggota dan empat jentera yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 10.41 pagi itu berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian.
Beliau berkata, mayat Fatimah ditemui rentung dalam keadaan meniarap di rumah mereka yang telah hangus terbakar pada pukul 12.22 tengah hari.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk dibedah siasat. Kebakaran itu turut memusnahkan kira-kira lima peratus dua buah rumah lain yang terletak bersebelahan.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. Setakat ini, berdasarkan pemerhatian awal, saya menolak unsur khianat,” kata Md. Hilman yang ditemui di tempat kejadian.
sumber: Kosmo Online