Seorang warga emas yang merupakan pesara tentera di sini berbangga apabila masih mampu melaksanakan tanggungjawab membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan menerima suntikan vaksin Covid-19.
Tuan Abdullah Nik Mat, 77, bekas Pegawai Waran II Angkatan Tentera Malaysia yang tinggal di kawasan perumahan Tengku Iskandar Tengku Ahmad di sini memberitahu, mengambil suntikan vaksin tidak seperti berjuang menentang komunis ketika zaman 70-an dahulu bagi menjaga keamanan negara.
Katanya, dengan hanya dua suntikan dos vaksin dia mampu melindungi diri, keluarga dan masyarakat untuk mencegah wabak Covid-19.
“Setiap hari, saya tidak sabar dan sering bertanya anak mengenai janji temu untuk menerima vaksin. Saya gembira dan bersyukur apabila nama tersenarai untuk divaksin hari ini.
“Saya tidak risau kerana vaksinasi ini merupakan usaha untuk melindungi diri. Selebihnya, kita hanya bertawakal kepada Allah ketika sedang melawan jangkitan Covid-19 yang semakin menular,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Bangunan Pusat Latihan Kesedar di sini, hari ini.
Ujar beliau lagi, dia mengambil suntikan vaksin sebagai langkah perlindungan dan mengikut nasihat pihak kerajaan.
“Anak saya telah membantu mendaftar nama secara manual di kaunter terbuka Pusat Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dikendalikan oleh Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) di bandar ini, dua minggu lalu untuk mendapatkan vaksin,” ujarnya.
sumber: Kosmo Online