Gua Musang: Lelaki Orang Asli Temiar lari tahanan polis diburu

Posted on

Polis sedang memburu seorang tahanan lelaki Orang Asli Temiar yang telah melarikan diri dalam keadaan tangan bergari ketika dia dibawa untuk menjalankan siasatan ke lokasi kes curi di Kampung Jias C, Kuala Betis di sini pada Isnin lalu.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, suspek yang dikenali sebagai Klaus Ghani, 24, dari Pos Tohoi dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah seorang guru Sekolah Kebangsaan Tohoi di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anggota polis telah mengiringi suspek yang telah ditahan pergi ke sebuah kedai runcit di Kampung Jias C untuk menunjukkan lokasi dia menjual barangan curi.

Katanya, apabila tiba di kawasan itu, suspek bertindak agresif dengan menolak anggota polis sebelum terjun ke dalam sungai dan menuju ke arah perkampungan Orang Asli yang berhampiran.

“Pencarian lelaki itu di sekitar kawasan sungai dijalankan sehingga tiga jam, namun arus yang deras dan keadaan gelap menyukarkan usaha itu.

“Operasi mencari dan menyelamat diteruskan di Sungai Kuala Betis keesokan harinya bagi mengesan suspek dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Jias C di sini hari ini.

Choon Foo berkata, usaha memburu suspek diteruskan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kelantan di perkampungan Orang Asli tersebut.

Katanya, polis menjumpai gari dipakai suspek dalam keadaan terbuka telah ditinggalkan di kawasan Klinik Kesihatan Pos Tohoi.

sumber: Kosmo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.