Bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi, Anzalna Nasirmendedahkan dia mempunyai tabiat pelik sejak hamil iaitu gemar menghias diri. Usia kandungan sudah mencecah enam bulan, Anzalna berkata dia suka memakai bulu mata palsu dan kanta lekap terutama ketika keluar rumah.
“Sebelum hamil, saya tidak suka memakai bulu mata palsu dan kanta lekap. Bagaimanapun, sekarang dia (bayi dalam kandungan) minta lebih-lebih.
“Tetapi saya tidaklah pakai di dalam rumah. Kalau ada majlis di luar, baru saya pakai,” katanya kepada Kosmo!
Sudah mengetahui jantina bakal anak sulungnya, bagaimanapun Anzalna dan suami tidak akan mendedahkan lagi status jantina bayi mereka kerana mereka berdua mahukan kejutan buat keluarga serta peminat.
“Kami sudah mengetahui jantina bayi, namun saya dan suami sepakat tidak mahu mendedahkan sehinggalah hampir bersalin nanti. Buat masa sekarang, saya dan suami sahaja yang tahu. Keluarga pun tidak tahu.
“Saya sendiri tidak kisah bayi lelaki atau perempuan asalkan dia lahir dalam keadaan sihat walafiat. Saya juga akan mengadakan majlis doa selamat untuk mendedahkan jantina bayi kelak,” ujarnya.
sumber : kosmo