Pelakon dan penyanyi, Hannah Delisha enggan membuka mulut mengenai masalah sebenar yang wujud di antaranya dengan ibu, Noor Ashikin Ahmad hingga wanita itu tampil memuat naik beberapa luahan di media sosial.
Mahu menjaga aib, Hannah berkata, tidak manis hal peribadi dirinya dikongsikan kepada umum, namun mengharapkan doa orang ramai supaya semuanya berjalan dengan baik.
“Sejujurnya perkara yang berlaku terlalu peribadi, tambahan membabitkan masalah keluarga. Cuma apa yang bezanya, saya seorang ‘public figure’.
“Saya percaya ramai lagi di luar sana yang ada masalah masing-masing. Mungkin bukan masalah keluarga tetapi membabitkan hal kewangan, peniagaan, perhubungan dan sebagainya. Tapi inilah masalah saya.
“Jadi saya tidak mahu buka aib sesiapa. Sebolehnya saya tak nak kongsikan apa-apa cerita pun. Cuma, saya kini bahagia bersama suami.
“Apa yang boleh saya harapkan ialah doa yang baik-baik. Jangan fikir negatif atau pun buat spekulasi sendiri. Kita semua ada masalah, cuma situasinya sahaja yang berbeza,” katanya.
Sementara itu, suami Hannah yang juga pelakon di Singapura, Imam Shah berkata, dia reda dengan apa yang berlaku dan saling menyokong di antara satu sama lain.
“Apa yang berlaku kami perlu harungi bersama. Jadi suka atau tidak, kita sama-sama terima. Susah senang bersama, nak buat macam mana,” katanya.
Ditanya mengenai kehidupan rumah tangga, Hannah menjelaskan tiada banyak perbezaan selain dia dan Imam saling melengkapi.
“Saya bersama suami sebelum masuk industri seni di Malaysia lagi, kita pun sudah lama kenal.
“Sebaik sah bergelar suami isteri, bezanya ialah kami ada di antara satu sama lain setiap masa,” katanya.
Bercakap mengenai perancangan cahaya mata pula, pasangan itu tidak menolak andai dikurniakan rezeki zuriat dalam tempoh terdekat.
“Kami percaya kepada rezeki, tidak mahu merancang. Kalau ada rezeki, adalah. Tiada sasaran pun kerana kami sukakan kanak-kanak, terutamanya Imam,” kata Hannah.
Terdahulu, pasangan selebriti ini mengejutkan ramai apabila keduanya mendedahkan mengenai perkahwinan mereka di laman media sosial masing-masing pada 18 Februari lalu.
Sekitar Mac lalu, Hannah tampil membuat permohonan maaf selepas pelbagai kontroversi menghimpit dirinya sejak melangsungkan perkahwinan secara senyap dengan Imam, termasuk perkahwinan yang didakwa tidak direstui ibunya.
Hannah menerusi satu kenyataan meminta semua pihak memberikan ruang peribadi buatnya berhubung kontroversi berkenaan.
Dalam masa sama, timbul pula cerita apabila mereka katakan sudah berkahwin sejak setahun lalu.
Ia susulan perkongsian rakan artis yang juga pengacara, Eleena Sui melalui Instagram pada tahun lalu bertarikh 19 Februari, kelihatan hampir sama dengan gambar yang dikongsikan ibu mentua Hannah menerusi media sosial sebelum ini.