Berpuasa terbukti memberi banyak manfaat terhadap kesihatan termasuk pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti jantung.
Hasil analisis sistematik mendedahkan, amalan berpuasa tidak mempunyai kaitan dengan keburukan yang menjadi penyebab kepada serangan jantung, serangan angin ahmar dan kegagalan fungsi jantung.
Perunding Kardiologi Intervensi dan Perubatan Dalaman Hospital Pakar An-Nur, Datuk Dr Oteh Maskon berkata, beberapa hasil kajian menunjukkan amalan puasa adalah selamat dan didapati tiada peningkatan serangan penyakit jantung berlaku ketika berpuasa.
Menurutnya, banyak kajian mendedahkan berpuasa adalah satu terapi kepada penyakit jantung dan penyakit kronik lain.
“Ini kerana berpuasa memberikan perubahan fisiologi seperti hormon dan kawalan faktor risiko penyakit itu sendiri.
“Berpuasa dapat menurunkan tekanan darah, paras gula dan paras kolesterol (LDL) juga penurunan berat badan.
“Kawalan faktor risiko membawa kesan positif jangka panjang, contohnya menurunkan tekanan darah kira-kira dua milimeter merkuri (mmHg), ia boleh merendahkan risiko kematian yang berpunca daripada jantung iaitu serangan jantung dan angin ahmar,” katanya.
Dr Oteh berkata, berpuasa juga boleh mengawal sindrom metabolik yang menggabungkan masalah tekanan darah tinggi, tinggi kolesterol, berat badan berlebihan dan tinggi paras gula.
Kata Dr Oteh, sindrom metabolik mendedahkan individu kepada risiko penyakit jantung.
Kajian saintis dari Jepun, Yoshinori Ohsumi yang membangunkan konsep ‘autophagy’ mendapati berpuasa akan mengaktifkan proses ‘autophagy’ ini yang baik untuk pembaharuan sel melewatkan proses penuaan juga dapat mencegah barah.
Penemuan kajian yang luar biasa Yoshinori ini turut memenangi Anugerah Nobel Perubatan pada 2016.
Dr Oteh berkata, dalam kajian lain pula mendedahkan, sekiranya ada insiden serangan jantung pada Ramadan, berkemungkinan ia terjadi selepas berbuka.
“Mungkin ini berpunca daripada pola pemakanan tidak sihat semasa berbuka seperti pengambilan garam atau lemak yang banyak,” katanya.
Kata Dr Oteh, oleh itu, pesakit jantung usah bimbang untuk melaksanakan Rukun Islam ketiga ini.
“Kita tahu, pesakit jantung atau golongan yang menghidap penyakit kronik lain tidak diwajibkan berpuasa.
“Jika mereka ingin melaksanakan ibadat ini secara sukarela, ia digalakkan.
“Bagaimanapun, pesakit jantung perlu terlebih dahulu mendapatkan khidmat nasihat dan perundingan daripada pakar kardiologi sebelum berpuasa Ramadan.
“Mereka juga diingatkan supaya bersedia untuk berbuka pada bila-bila masa sekiranya tahap kesihatan tidak mengizinkan,” katanya.
Beliau berkata, dianggarkan 30 hingga 40 peratus pesakit jantung turut menghidap penyakit kencing manis.
“Sebahagian penyakit kencing manis yang mereka alami adalah pada tahap tidak terkawal, mengakibatkan pesakit menjadi lemah apabila berpuasa.
“Pesakit yang mengambil insulin tiga atau empat kali sehari contohnya, apabila kawalan gula tidak stabil tak digalakkan berpuasa.
“Selain itu, pesakit kencing manis yang makan ubat dan kawalannya stabil, tiada halangan untuk berpuasa malahan mungkin membantu kawalan penyakit,” katanya.
Menyentuh rawatan penyakit jantung yang membatalkan puasa, Dr Oteh berkata, rawatan itu seperti ‘angioplasty’ apabila pesakit perlu menelan ubat ketika prosedur dijalankan.
“Begitu juga dengan pesakit yang mendapat serangan jantung dan mereka perlu mengambil ubat kerana berisiko.
“Bagi pesakit yang menjalani rawatan angiogram atau prosedur lain (tidak membabitkan menelan ubat), mereka masih boleh meneruskan ibadat puasa.
“Pesakit jantung yang mengalami sakit dada (angina) juga masih boleh berpuasa walaupun mengambil ubat ‘Glyceryl Trinitrate’ (GTN).
“Namun, dengan syarat ubat ini diletakkan di bawah lidah dan bukan menelannya (batal puasa),” katanya.
Sementara itu, Pegawai Dietatik Hospital Pakar An-Nur, Nurul Zulaika Habib Rahman berkata, diet berpuasa Ramadan untuk pesakit jantung ialah makanan yang rendah garam, rendah lemak dan tinggi serat.
Selain itu, katanya, bagi mengelakkan dehidrasi, pesakit juga perlu memastikan pengambilan air minuman yang mencukupi iaitu di antara enam hingga lapan gelas sehari.
“Amalkan konsep Pinggan Suku-Suku Separuh yang disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu suku pinggan karbohidrat, suku pinggan protein dan separuh pinggan adalah serat.
“Untuk karbohidrat, pengambilan yang disarankan ialah dua atau tiga senduk untuk sekali makan,” katanya.
Katanya, suku untuk protein pula adalah terdiri daripada ikan, ayam daging dan sebagainya.
“Digalakkan memilih ayam di bahagian dada kerana kurang lemak berbanding paha dan kepak.
“Jika bahagian ayam yang ada banyak kulit, hendaklah buang kulit berkenaan. Begitu juga lemak pada daging lembu,” katanya.
Nurul Zulaika berkata, makanan berserat pula pula perlu diambil antara 20 hingga 30 gram sehari bersamaan tiga senduk sayur dan dua genggam buah.
“Pilih minyak tidak tepu sebagai pengganti minyak tepu dalam masakan kerana penggunaannya membantu merendahkan bacaan lipoprotein ketumpatan rendah (LDL).
“Ia boleh meningkatkan risiko penyakit jantung disebabkan paras LDL yang tinggi,” katanya.
Jelasnya, kadar kolesterol LDL yang tinggi akan menempel di bahagian pembuluh arteri dan membentuk plak.
“Ia akan menyebabkan pembuluh darah di bahagian jantung dan otak tersumbat seterusnya menyumbang ke arah sakit jantung atau/dan angin ahmar,” katanya.