Orang ramai diingatkan untuk berhati-hati dan tidak sesekali berurusan dengan pihak yang menawarkan visa diurus sendiri untuk menunaikan haji berikutan kerajaan menangguhkan penghantaran jemaah haji Malaysia untuk menunaikan ibadah itu pada tahun ini.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan hari ini menyatakan penangguhan itu turut melibatkan semua bakal haji termasuk yang bercadang menggunakan visa yang diuruskan sendiri iaitu visa furada.
“Pada masa ini, kerajaan telah mengawal perjalanan ke luar negara kepada semua rakyat Malaysia ekoran wabak COVID-19 yang melanda dunia …wabak ini telah menyebabkan banyak sektor ekonomi dan perniagaan terkesan, bukan hanya kepada mereka yang mengendalikan haji dan umrah.
“Kerajaan telah menangguhkan (penghantaran jemaah haji Malaysia untuk menunaikan) ibadat haji tahun ini kerana mementingkan keselamatan dan kesihatan bakal jemaah khususnya dan rakyat Malaysia amnya,” menurut kenyataan itu yang merujuk kepada dakwaan 51 agensi pengelola haji swasta yang mengalami kerugian besar akibat keputusan penangguhan itu.
Kenyataan itu menyebut untuk musim haji 1441 Hijrah (2020), TH telah meluluskan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 24 syarikat agensi pelancongan sahaja dan sehingga kini, seramai 2,200 bakal haji telah memilih untuk menunaikan haji menggunakan perkhidmatan pakej PJH yang dilesenkan oleh TH dan anak syarikatnya iaitu TH Travel & Services (THTS).
Menurut TH, tiada sebarang kuota khas diperuntukkan kepada mana-mana PJH atau mana-mana agensi pelancongan swasta.
“Berikutan nasihat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 6 Mac 2020 untuk menangguhkan sebarang komitmen kewangan bagi musim haji tahun ini, TH turut memaklumkan perkara yang sama kepada semua 24 syarikat PJH untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Maklum balas yang diterima daripada PJH, mereka semua telah membuat perancangan sewajarnya berkaitan sewaan hotel penginapan manakala urusan penerbangan belum dimuktamadkan,” menurut kenyataan itu.
sumber : bernama