Hukuman Gantung Azilah

Hukuman Gantung Azilah Hadri Diganti Penjara 40 Tahun, 12 Sebatan. Bapa Altantuya Mohon Azilah Tak Digantung

Posted on

Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman gantung sampai mati kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan terhadap bekas anggota Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri yang disabitkan dengan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, 18 tahun lalu.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan semakan hukuman mati dikemukakan bekas Cif Inspektor Azilah, 48.

“Permohonan pemohon dibenarkan, hukuman gantung ditolak dan digantikan dengan pemenjaraan 40 tahun dan 12 sebatan,” katanya yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan TanSri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Bapa Altantuya sokong semakan hukuman mati

Terdahulu, bapa kepada Altantuya menyokong permohonan semakan hukuman mati yang difailkan oleh bekas komando polis itu diganti kepada pemenjaraan.

Peguam J Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah, membaca sebahagian isi surat yang ditulis Dr Shaariibuu Setev mengenai ‘kemurnian hidup’.

“Kami ada surat daripada bapa mangsa, beliau juga meminta supaya hukuman mati diganti kepada penjara,” kata Kuldeep Kumar dalam hujahan di mahkamah hari ini.

Peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo mengesahkan perkara itu dan mempunyai salinan asal surat berkenaan.

Azilah membuat permohonan semakan hukuman mati itu susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lalu.

Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.

Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum sebanyak 12 kali.

Pada 2009, Azilah disabitkan bersama seorang lagi bekas anggota polis iaitu Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi esoknya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota polis itu.

Sementara itu, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan itu oleh mahkamah yang sama.

Azilah dan Sirul Azhar kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013.

Bagaimanapun, pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.

Sirul Azhar tidak hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana melarikan diri ke Australia pada 2006 di mana dia ditahan di bawah undang-undang Imigresen sebelum dibebaskan pada akhir tahun lalu.

Pada 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azilah untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya.

Media melaporkan bahawa Azilah turut memohon pengampunan diraja daripada Sultan Selangor

Pada 2022, keluarga Altantuya menang dalam saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak serta kerajaan dan Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan supaya mereka dibayar ganti rugi sebanyak RM5 juta.

Bagaimanapun, kes itu masih di peringkat Mahkamah Rayuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.