Seorang ibu di Mahkamah Agama di Praya, Lombok Tengah, Indonesia mengisytiharkan dirinya tidak menghalalkan setitis pun air susu badan buat anak lelakinya.
Wanita itu yang berusia 52 tahun bertindak demikian gara-gara kecewa dengan anaknya lelakinya, 32, yang didakwa ‘berkeras kepala’ menuntut harta pusaka peninggalan arwah suaminya.
Difahamkan, pusaka peninggalan yang dituntut anak lelakinya adalah sebidang tanah seluas 4.2 ekar, sejumlah duit dan rumah.
“Sememangnya saya tidak maafkan dia. Sepatutnya dia kena bayar air susu saya.
“Saya sudah penat jadi ibu. Saya sudah bosan,” katanya selepas selesai perbicaraan, memetik laporan Media Utama.
Jelas wanita itu lagi, tuntutan anaknya itu nyata telah melanggar wasiat arwah suaminya yang meminta agar harta pusaka tersebut tidak boleh dibahagi.
Meskipun ‘diancam’ dengan kata-kata ibunya, anak lelakinya dilaporkan tetap berkeras mahu menuntut peninggalan tersebut kerana dakwanya, pembahagian harta pusaka itu penting kerana setiap orang (pewaris) akan jelas akan hak mereka.
“Nanti kalau sudah diputuskan (pembahagian), kita akan tahu hak-hak kita, (iaitu) hak adik saya, hak ibu saya.
“Dan ini juga sebagai langkah ‘selamat’ sekiranya ada nanti sesiapa individu yang datang dan mendakwa pusaka tersebut adalah milik mereka,” jelasnya.
Mengimbas kembali, arwah suami wanita itu sewaktu masih hidup dahulu pernah meninggalkan satu pesanan wasiat berkenaan harta mereka.
“Ayahnya berpesan pada ketika itu, sejak alami sakit strok pada 2016 lalu, rumah ini tidak boleh dijual dan tidak boleh dibahagi.
“Siapa yang tinggal silakan tinggal, sudah ada biliknya masing-masing. Ini menjadi rumah bersama,” kata si ibu sambil mengusap air mata.
Dalam perbicaraan itu, kedua-dua beranak itu telah diberi nasihat agar kes konflik tersebut dapat diselesaikan secara berhemah.
Bagaimanapun, si anak tetap dalam pendiriannya untuk menuntut pusaka tersebut.
Sumber: Media Utama