Seramai sepuluh warga emas Cina peranakan di sini diraikan sempena sambutan Tahun Baru Cina di Hotel Royal Guest House (RGH).
Mereka dijamu dengan ‘hidangan muhibah’ serta yee sang pada majlis yang turut mendapat kerjasama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) itu.
Pengarah Urusan RGH, Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud berkata, warga emas dari Kampung Cina itu menikmati gabungan masakan Melayu, Thailand dan India yang turut dihidangkan yee sang.
“Kita adakan kelainan dengan menyediakan gabungan masakan pelbagai kaum bagi menunjukkan keharmonian masyarakat di negeri ini dan hidangan juga lebih istimewa daripada biasa,” katanya.
Majlis meraikan warga emas itu turut dihadiri Presiden Kemudi, Azran Fitri Abdul Rahim dan Timbalannya, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi.
BACA : Uniknya Kaum Cina Kelantan
Warga emas, Tan Ah Moi, 77, berkata, sambutan Tahun Baru Cina tahun ini lebih bermakna kerana diraikan bersama rakan lain.
Katanya, walaupun dibesarkan dalam persekitaran masyarakat Melayu dan sudah biasa dengan masakan Melayu, Thai dan India tetapi lazimnya mereka lebih mengutamakan makanan tradisi ketika sambutan Tahun Baru Cina.
“Ini uniknya kami, meraikan Tahun Baru Cina di Kelantan. Dapat makan kari ikan, hidangan Thailand selain yee sang. Tidak kira menu apa tapi kami bahagia.
“Inilah yang menggambarkan keharmonian kehidupan kami di sini. Sama-sama meraikannya sama ada Melayu dan Cina. Ini yang kami amalkan. Raya Cina orang Melayu pun datang ke rumah meraikan,” katanya.
Dalam pada itu, Azran berkata, Kemudi mengambil inisiatif meraikan warga emas dan ibu tunggal untuk lebih menggembirakan mereka dalam suasana berbeza.