Pernah beberapa kali terpalit kontroversi negatif sebelum ini, penyanyi Ismail Izzani memberitahu dia banyak belajar daripada kesilapan terdahulu dan masih dalam proses memperbaiki diri.
Ismail memberitahu salah satu cara untuk mengelakkan dirinya daripada melakukan perkara negatif adalah dengan menjaga solat. Ujarnya, meskipun masih belum sempurna namun dia percaya bahawa dengan solat mampu mendorongnya menjadi insan lebih baik.
“Nafsu nak buat jahat memang susah kita nak kawal tapi kita kena pandai bahagikan masa dengan benda-benda yang positif. Salah satu cara jangan tinggalkan solat walaupun banyak dugaan tapi saya tetap akan cuba jaga solat.
“Bagi saya, kita kena sentiasa ingat Allah sebab dia ingat kita. Mak saya selalu pesan, ingat solat, bila kita solat mendorong kita buat benda baik. Tidak membawa kita ke arah negatif dan malah tidak terasa nak buat benda-benda jahat,” katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Ismail mengakui kesilapan yang terjadi sebelum ini adalah keputusannya sendiri dan dia kini dalam proes belajar untuk membuat keputusan yang betul untuk diri sendiri.
“Kesilapan itu boleh datang dari mana-mana, kita tengah berdiri pun boleh buat silap. Bagi saya, apa yang jadi sebelum ini adalah keputusan saya sendiri. Itulah kesilapan saya.
“Sekarang ini masih dalam proses belajar macam mana nak buat keputusan yang betul untuk diri sendiri,” katanya.