Jaga ibu koma sejak 2015, pelajar ini berjaya dapat 8A dalam PT3

Posted on

Bagi mereka yang selalu mengikuti kerja amal yang dilakukan pakar motivasi, Dr Raja Shamri dan NGO yang diasaskannya, The Third Force, pasti pernah mengetahui kisah seorang ibu, Zabidah Mat Hashim yang terlantar koma dan dijaga oleh dua anaknya.

Menerusi perkongsian Raja Shamri di Facebook, beliau memberitahu anak perempuan Zabidah, Zanatul Nur Afini berjaya mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan PT3 yang diumumkan baru-baru ini.

Lebih membanggakan, Nur Afini merupakan satu-satunya pelajar yang memperolehi keputusan tersebut di sekolahnya.

“Alhamdulillah Zanatul Nur Afini, anak puan Zabidah yang koma sejak 2015 memperolehi keputusan yang amat cemerlang dalam keputusan peperiksaan PT3 baru-baru ini. Beliau memperolehi 8A dan merupakan pelajar tunggal sekolah beliau yang memperolehi 8A. Tahniah Afini,” katanya.

Menurut Raja Shamri, kisah kejayaan Afini itu telah mendapat perhatian daripada pihak RTM.

“Pihak RTM telah menemuramah Afini dan bertanya tentang rahsia kejayaan Afini yang juga perlu menjaga ibu yang koma. Menurut Afini ini semua adalah hasil pengorbanan keluarga beliau terutama abangnya Idham dan bapa saudara Paksu Amran,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa orang wakil dari Third Force Pasir Mas telah hadir bersama-sama guru sekolah untuk menyampaikan sumbangan.

Terdahulu, Raja Shamri pernah berkongsi pengorbanan abang kepada Nur Afini, Mohd Idham yang terpaksa melupakan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti demi menjaga ibunya sepenuh masa.

Malah, Idham turut bekerja secara sambilan di sebuah kedai pakaian terpakai demi meringankan beban mereka.

Bagaimanapun, kos persekolahan Nur Afini ditanggung oleh biasiswa sekolah yang diterimanya.

Tahniah diucapkan buat adik Nur Afini. Semoga kejayaan ini menyuntik semangat untuk berbakti pada keluarga pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.