Jangan lepaskan baung ekor merah ke sungai

Posted on

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang larang penternak ikan baung ekor merah dalam sangkar secara komersial di Sungai Pahang melepaskannya ke dalam sungai bagi mengelak kesan negatif pada ekosistem.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman, berkata ikan yang dikategorikan sebagai ikan pemangsa itu antara 32 spesies ikan yang tidak dibenarkan dilepaskan dalam sungai, empangan, tasik dan lombong di negara ini.

Justeru, katanya, pihaknya sentiasa memantau dan mengawasi industri ternakan ikan baung ekor merah di negeri ini supaya setiap penternak mematuhi cadangan dan peraturan ditetapkan terutama membabitkan ternakan dalam sangkar.

Beliau berkata, walaupun ikan berkenaan mendapat permintaan tinggi, pihaknya tidak pernah menggalakkan ia diternak memandangkan banyak spesies ikan lain boleh diternak seperti patin, jelawat, kerai dan kelah yang turut mendapat pasaran baik.

“Ikan baung ekor merah adalah spesies berasal dari Sungai Mekong, Vietnam dan ia dikategorikan sebagai ikan pemangsa yang akan mengganggu ekosistem perairan sekiranya berada dan membiak dalam perairan umum.

“Ikan berkenaan adalah ikan yang agresif memakan pelbagai hidupan dalam air termasuk anak ikan dan udang, saiznya matangnya mencapai berat puluhan kilogram.

“Kehadiran ikan berkenaan di perairan negara boleh membawa penyakit yang akan merebak kepada ikan tempatan terutama yang diternak dalam sangkar,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang menternak secara dalam sangkar perlu melakukan pengawalan yang terbaik bagi memastikan ikan berkenaan tidak terlepas ke perairan umum, seterusnya membiak secara meluas.

images from google images

Azahari berkata, difahamkan kini terdapat ramai penternak di beberapa daerah di negeri itu menternak ikan baung ekor merah dengan alasan sambutan menggalakkan daripada pelanggan selain harga yang tinggi.

Katanya, bentuk, warna dan saiz ikan baung ekor merah hampir sama dengan baung tempatan namun warna merah pada ekor saja yang membezakan dua spesies berkenaan.

“Program kesedaran terhadap kesan kepada ekosistem berpunca daripada ikan baung ekor merah turut dilakukan bagi memastikan penternak mengambil langkah terbaik mengelak ikan berkenaan terlepas ke sungai.

“Pegawai pejabat perikanan daerah akan melakukan pemeriksaan secara berjadual bagi memastikan penternak menutup dengan jaring keseluruhan sangkar mereka supaya ikan tidak melompat keluar,” katanya.

sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.