WhatsApp Gold kembali cuba memperdaya pengguna. Ketika “Perintah Kawalan Pergerakan” dikuatkuasakan, terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menipu pengguna.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan hebahan kepada orang ramai supaya berhati-hati terhadap mesej yang menawarkan untuk memuat turun WhatsApp Gold serta amaran berkenaan pengeluaran video bertajuk ‘Gambarelli’.
Ini kerana dipercayai aplikasi serta video tersebut membawa perisian hasad di dalamnya
Menurut SKMM, mesej yang ditularkan adalah mesej yang dikitar semula sejak Mei 2016 lagi. Mesej asal tersebut menawarkan aplikasi WhatsApp Gold yang kononnya dilengkapi ciri-ciri kelebihan istimewa seperti panggilan video, penghantaran gambar sehingga 100 keping gambar dalam satu masa serta pemadaman mesej yang telah dihantar dalam masa beberapa jam.
Pengguna yang menerima pautan untuk memuat turun apliaksi tersebut akan diminta memuat turun apliaksi WhatsApp Gold, dan kemudian akan membawa pengguna ke satu laman web yang mengandungi perisian hasad.
Mesej tersebut dipercayai telah diolah setiap tahun bagi mengelirukan pengguna dengan disertakan amaran berkenaan video“Gambarelii/ Martinelli” yang turut mengandungi virus. Namun tiada bukti bahawa wujudnya video tersebut.
Jadi, sekiranya anda ada menerima sebarang pautan muat turun aplikasi atau video yang meragukan dari pihak yang tidak dikenali, segeralah melaporkannya terus kepada SKMM.
Sumber: SKMM