Jual Patung Babi, Peniaga Melayu Ini Cipta Kelainan Untuk Tahun Baru Cina

Posted on

Malaysia terkenal dengan rakyatnya yang hidup harmoni dengan pelbagai agama, budaya, bangsa dan adat. Tidak lama lagi kaum Cina akan meraikan sambutan Tahun Baru Cina dan pasti ramai tahu bahawa tahun 2019 merupakan Tahun Babi dalam kalendar Cina.

Bersempena sambutan Tahun Baru Cina ini, sepasang suami isteri Melayu Adam Baderun dan Yuslina Badrum, tidak ketinggalan menjual barang perhiasan, khas dibuat untuk Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada 5 dan 6 Februari ini.

Namun apa yang menjadi perhatian ialah pasangan ini menjual patung babi. Babi sebenarnya dianggap tidak bersih dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam, namun pasangan warga Sabah ini tidak ada masalah menjual patung babi.

Rata-rata pelanggan juga tidak terkejut atau marah melihat Yuslina yang tampil bertudung menjual patung babi.

Menurutnya, tiada reaksi pelik daripada pelanggan, malah ada yang memberikan komen positif. Yus yang juga seorang guru sekolah menengah juga tidak faham mengapa haiwan tersebut boleh menimbulkan kekecohan di sesetengah tempat.

“Kalau orang faham agama mereka, mereka tidak akan jadi kecewa dengan perkara-perkara kecil.

“Bagi saya, (menjual patung babi) tidak jadi isu. Babi dan anjing adalah ciptaan Tuhan juga. Selagi kamu pegang ajaran agama, seperti tidak makan babi, kamu okay sahaja,” katanya.

Katanya lagi, menjual patung babi tidak menjadi isu di Sabah kerana rakyatnya yang hidup berbilang kaum dan saling menghormati budaya kaum lain. Ujarnya lagi, menjual barang hiasan tersebut tidak menggoyangkan akidah dan ia hanyalah barang seni.

“Di semenanjung, menyebut babi boleh akibatkan (orang angkat) bendera merah, tapi kita tahu akidah kita. Jual ikon itu tidak akan menggoyang akidah kita. Kita tak makan daging babi. Barang-barang hiasan itu cuma seni.

“Kita tidak pandang rendah budaya orang lain. Di Sabah, kita tinggal dalam suasana pelbagai kaum dan pelbagai bangsa dan agama dan kita bertolak ansur sesama kita. Kita belajar menghargai kepercayaan masing-masing,” katanya.

Menurut Adam, sebelum ini mereka juga pernah menjual barang perhiasan sempena Krismas, termasuk ukiran yang mempunyai ayat-ayat daripada Injil.

“Kami juga terima tempahan barang perhiasan daripada pelanggan. Kami tahu akidah kami dan (menjual barang-barang seperti ini) tidak mengganggu akidah kami. Ia hanya seni,” katanya.

Sumber: Vitdaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.