Jual Telur Ayam Demi Tampung Belanja Sekolah Tahfiz

Posted on


Sumber dari hmetro.com.my

Kita sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mendapatkan ilmu. Malah, ilmu juga harus dituntut selagi nyawa dikandung badan. Ada yang meminta bantuan seperti biasiswa, pinjaman dan pelbagai cara demi ilmu yang dicari.

Perkara itu turut dilakukan oleh pihak sekolah tahfiz yang menjual telur ayam bagi menampung perbelanjaan sekolah mereka.

Pengerusi Maahad Tahfiz Sahabat Insani, Dr Mohd Huzairi Hussain menjelaskan bahawa mereka berniaga telur ayam di hadapan perkarangan sekolah mereka dari awal bulan Julai ini.

Untuk pengetahuan anda, sekolah tahfiz itu terletak di Nilai, Negeri Sembilan dan baru sahaja beroperasi sejak setahun yang lepas.

“Telur ayam gred C dijual pada harga RM6.50 sepapan yang mengandungi 30 biji manakala gred A pada harga RM7.50,” ujarnya.

“Ia jauh lebih murah berbanding pasaran iaitu RM9 dan RM12 bagi gred C dan A. Pada masa sama, kami menjual buku Amalan Harian Mukmin mengandungi ayat pelindung al-Quran yang dijual pada harga RM10 setiap satu,” tambahnya lagi.


Sumber dari hmetro.com.my

Sehingga kini, sekolah tahfiz itu memiliki 98 orang pelajar dan pihak sekolah harus mencari dana untuk pengajian mereka dengan menjual telur ayam.

“Setakat ini, kami menjual 1,500 papan telur dan hasil diperoleh digunakan bagi menampung pengajian pelajar membabitkan anak yatim,” ujarnya sambil memberitahu mereka berniaga pada setiap hari jumaat untuk orang ramai.

Semoga ada yang sudi datang membeli hasil jualan sekolah ini seterusnya dapat membantu pelajar-pelajar ini menuntut ilmu hingga berjaya.