“Saya Serah Ketentuan Allah” – DS KHALID MOHD JIWA
SUAMI penyanyi tersohor negara, ahli perniagaan popular, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa berserah pada takdir mengenai rezeki anak kedua dengan isterinya, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin.
“Kami tak rancang nak lewatkan soal anak kedua, kalau dah rezeki alhamdulillah. “Tak ada plan mengelak lebih awal, selepas lahirnya Siti Aafiyah, kalau ada…dalam masa terdekat adalah, saya serahkan pada ketentuan Allah,” jawabnya kepada URTV Online, ketika Huzz merisik khabar tentang anak kedua, sebentar tadi (pagi 11 Januari 2019).
Siti pernah melahirkan hasrat hati mahu anak lagi ketika kami berbual sebelum ini, setelah Aafiyah kian membesar (nak masuk setahun April ini). “Mungkin, setahun dua lagi kot, sekarang pun Siti masih menyusukan Aafiyah, “kata Siti.
Apatah lagi Siti sedang sibuk untuk konsert jelajah tiga bandaraya (Jakarta, Singapura dan Kuala Lumpur) awal tahun ini yang 70 peratus jualan tiket sudah habis dijual dan dijangka ke London untuk konsert kali kedua di Royal Albert Hall, April ini.
Secara eksklusif untuk URTV Online Datuk Seri Khalid atau yang popular sebagai Datuk K juga mengaku ada pengalaman manis lebih 11 tahun berumah tangga dengan Siti.
“Siti seorang isteri yang baik dan penyayang. Saya bahagia dan mencintainya,” kata Datuk K. Dan malam ini beliah mengadakan majlis istimewa untuk isteri sempena ulang tahun ke 40 di sebuah lokasi khas dan mengundang ramai tetamu.
Teringat juga kata kata Datuk K kepada Huzz sebelum ini, “Siti isteri ke syurga.” Ketika itu, beliau terharu Siti menjaganya , memandikan, menyuap makan dan sentiasa ada disisi, sepanjang beliau terlantar dan menjalani rawatan cedera parah akibat jatuh motosikal di New Zealand, tak lama dulu.
Tahun ke tahun, rumah tangga mereka diserikan dengan kemewahan kasih sayang. Lelaki berkumis ini mengaku, makin hari cinta makin dalam terhadap Siti.
Apakah hadiah untuk ulang tahun kelahiran isteri? Jawabnya merendah diri, “Tak ada yang istimewa.” Yang pasti, setiap tahun ada sahaja yang mewah dan berharga, bukan pada majlis hari jadi sahaja. Datuk K juga selalu mendoakan isteri.
Sebetulnya doa Datuk K kepada isteri jauh lebih berharga daripada hadiah mewah bernilai yang dibeli. Doa seorang suami sebenarnya sangat bermakna dan besar buat isteri, lantaran syurga itu dibawah telapak kaki suami. Kepada Datuk Seri Khalid dan isteri, URTV doakan kekal bahagia sampai ke Jannah…Amin.
Sumber: URTV & BH Online via MediaOhsem
Kredit: CP