Sejak kebelakangan banyak cerita yang tidak sedap di dengar dan seperti sudah menjadi satu trend apabila satu demi satu selebriti membuat keputusan untuk membuka tudung meskipun sudah bertahun berhijab.
Mengulas mengenai isu tersebut, Mira Filzah akui sedikit ralat dengan apa yang berlaku. Namun, Mira memberitahu pasti mereka ada sebab tersendiri yang membuatkan mereka memilih jalan tersebut.
“Bagi saya, setiap kecaman yang diberi oleh masyarakat sebenarnya tidak membantu seseorang artis itu.
“Pastinya, ada sebab kenapa perkara ini berlaku dan saya rasa tindakan yang paling baik adalah memberi mereka peluang malah tak salah kalau kita beri nasihat dengan cara baik dan lembut. Tapi, saya ada rasa sedikit ralat apabila perkara ini berlaku,” katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Mira turut memberi pesanan buat mereka yang ingin bertudung agar ikhlaskan hati untuk berhijab, kuatkan iman dan perbanyakkan membaca ilmu agama.
“Bagi sesiapa yang ingin memakai tudung, cubalah ikhlaskan dan tenangkan hati serta kuatkan iman.
“Rakan-rakan dan persekitaran yang baik juga memainkan peranan penting untuk kita kuatkan iman kerana dugaan pasti akan datang,” katanya.