Lagu Di Matamu terpilih sebagai finalis AJL, penyanyi Sufian Suhaimi menganggap kesedihan yang dialaminya sebelum ini terbayar dan ada hikmah disebaliknya.
Walaupun sudah berkali-kali mengatakan bahawa lagu Di Matamu bukan mengenai dirinya atau kisah cintanya, Sufian mengakui peristiwa putus tunangnya itu memberi impak besar terhadap lagu tersebut.
“Mungkin kalau saya tidak putus tunang, Di Matamu tidak akan ‘hidup’ dan menyentuh hati semua seperti yang berlaku sekarang. Tidak semua penyanyi mendapat peluang mengaitkan apa yang pernah berlaku dalam kehidupan sebenar dengan lagu yang dinyanyikan. Jadi, saya melihat situasi ini sebagai rezeki terpijak dan menerimanya secara terbuka.
“Sebenarnya sudah berkali-kali saya nyatakan bahawa Di Matamu bukan mengenai saya kerana ia siap sebelum hal putus tunang berlaku. Namun secara tidak langsung, liriknya memberi sedikit sebanyak bayangan tentang perasaan saya berkenaan apa yang telah terjadi,” katanya kepada Kosmo!
Terdahulu, lagu Di Matamu dilancarkan tidak lama selepas peristiwa putus tunang diantara Sufian dan Elfira Loy pada 18 Feburari lalu. Kemudian, muzik video lagu tersebut dilancarkan pada tarikh yang sepatutnya menjadi hari pernikahannya bersama Elfira.
sumber : Kosmo