Kejadian Supermoon Malam Ini Dikatakan Ada Kaitan Dengan Tanda AkhirZaman Dan Ini Penjelasan Dari Pejabat Mufti

Posted on

KUALA LUMPUR: Supermoon terbesar tahun 2019 akan muncul malam ini!

Fenomena bulan penuh ini amat dinantikan kerana bulan berada pada jarak paling dekat dengan bumi dan ia kelihatan lebih besar dan jelas daripada biasa.

Menurut kenyataan oleh Agensi Angkasa Negara (Angkasa), orang ramai boleh melihat fenomena Supermoon melalui mata kasar bermula jam 11.53 malam ini.

“Sebenarnya untuk tahun ini, fenomena ini berlaku tiga kali, yang pertama pada Januari lepas, kedua malam ini dan ketiga pada 21 Mac ini,” kata Zahira Mohd Radzi, Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa di Angkasa.

Supermoon terbesar, paling terang malam ini

Bulan penuh yang mempunyai perigee, atau titik kedudukan bulan paling dekat dengan bumi kurang daripada 360,000 km dikenali sebagai supermoon.

Ketika fenomena supermoon ini berlaku, jarak di antara bulan dan bumi sekitar 356,761 km. Ini bermakna bulan kelihatan lebih besar dan terang daripada biasa.

Ia juga amat jarang bagi fenomena tersebut untuk berlaku pada hari yang sama Pesta Tanglung diraikan.

Kali terakhir kedua-dua peristiwa tersebut berlaku pada hari sama adalah 28 Februari 2010.

Fenomena Supermoon seterusnya yang akan muncul lebih dekat hanya akan berlaku pada tahun 2034.

Jawapan Pejabat Mufti KL Tentang Supermoon Dikaitkan Dengan Tanda Kiamat

Soalan: Apakah terdapat hadith yang menceritakan berkaitan Supermoon?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Baru-baru ini kita dikhabarkan dengan satu fenomena yang dinamakan sebagai “Supermoon”. Supermoon atau lebih dikenali dengan nama saintifiknya iaitu Lunar Perigee adalah satu fenomena bulan penuh yang kelihatan lebih besar dan terang. Bulan akan dilihat 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah daripada hari biasa. Istilah supermoon pertama kali dikemukakan oleh ahli astronomi, Richard Nolle pada tahun 1979. Tambahan pula, fenomena ini hanya akan berlaku 18 tahun sekali.

Hadith Yang Dikaitkan Dengan Fenomena Ini
Antara hadith yang dikaitkan dengan fenomena ini adalah:

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مِنِ اقْتِرَابِ السَّاعَةِ أَنْ يُرَى الْهِلَالُ قُبُلًا، فَيُقَالُ: لِلَيْلَتَيْنِ، وَأَنْ تُتَّخَذَ الْمَسَاجِدُ طُرُقًا، وَأَنْ يَظْهَرَ مَوْتُ الفَجْأَةِ

Maksudnya: “Di antara tanda dekatnya hari Kiamat adalah hilal (anak bulan) terlihat lebih awal sehinggakan hilal pada malam pertama dikatakan sebagai hilal pada malam kedua, dan masjid-masjid dijadikan sebagai tempat melintas dan banyak berlakunya kematian tiba-tiba (mengejut)”. [Lihat: al-Mu’jam al-Awsath (9376) dan al-Jami’ al-Saghir (8232)]

Hukum Hadith
Antara pendapat ulama’ yang menilai hadith ini:

Imam al-Suyuthi menilai hadith ini iaitu hadith daripada Anas bin Malik RA adalah dhaif. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 298/2]

Imam al-Haithami, al-Haitham bin Khalid salah seorang perawi hadith ini adalah seorang yang dhaif (lemah) dan dia merupakan guru kepada Imam al-Thabarani. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 325/7]

Imam al-Sakhawi, hadith ini saling menguatkan antara satu sama lain. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 677/1] Ini kerana, terdapat hadith atau riwayat lain yang sama maknanya daripada sahabat yang lain seperti Abu Hurairah RA dan juga Abdullah bin Mas’ud RA.

Al-Albani menilai hadith ini sebagai hasan. [Lihat: Sahih al-Jami’ al-Saghir, 1026/2]

Makna Hadith
Di dalam hadith ini, dinyatakan beberapa tanda-tanda hampir berlaku hari Kiamat. Antaranya:

Hilal (anak bulan) dilihat lebih besar tidak seperti biasanya pada malam pertama. Sehinggakan manusia menyangka umur anak bulan tersebut usianya sudah malam kedua.

Manusia hanya akan melalui sahaja atau menjadikan masjid sebagai tempat untuk melintas tanpa menunaikan solat di dalamnya.Banyak berlakunya kematian mengejut atau tiba-tiba juga termasuk dalam tanda hampirnya hari Kiamat.

Selain itu juga, tanda yang pertama d atas iaitu hilal (anak bulan) dilihat lebih besar atau lebih bercahaya dengan cepat daripada kebiasaannya. Tanda inilah yang dikaitkan dengan fenomena Supermoon baru-baru ini. Kami berpendapat bahawa fenomena tersebut tidak ada kaitannya dengan hadith di atas walaupun jika dilihat secara kasarnya seakan-akan ia menepati makna hadith di atas.

Penutup
Kesimpulannya, tidak dinafikan bahawa telah berlaku banyak tanda-tanda Kiamat kecil di zaman kita ini. Akan tetapi bagi menisbahkan sesuatu perkara kepada hadith Nabi SAW, ia perlulah dilakukan dengan berhati-hati agar tidak berlaku pendustaan di atas nama Baginda SAW. Walaubagaimanapun, bulan merupakan salah satu daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT dan kita tidak boleh mengaitkan fenomena ini secara langsung dengan hadith di atas. Antara firman Allah SWT yang menunjukkan bahawa bulan merupakan salah satu daripada tanda kebesarannya adalah:

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ، فَادْعُوا اللَّهَ، وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُو

Maksudnya: “Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah SWT. Keduanya tidak akan menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang dan tidak juga disebabkan kehidupannya. Maka apabila kamu melihatnya (gerhana), berdoalah kepada Allah serta bertakbir, berselawat dan bersedeqahlah”. [Riwayat al-Bukhari (1044)]

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufiq dan hidayah serta menyelamatkan kita daripada fitnah-fitnah akhir zaman ini. Amin.

Wallahua’lam

Sumber Info : Pejabat Mufti Kuala Lumpur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.