Kelantan dikatakan membuat permohonan kali kedua untuk melaksanakan ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat bagi membendung penularan Covid-19 di negeri itu yang semakin membimbangkan.
Difahamkan, sebelum ini Kelantan pernah memohon untuk pelaksanaan berkenaan namun ditolak oleh Kerajaan Pusat disebabkan kesan ekonomi yang terpaksa ditanggung pelbagai pihak.
Sumber berkata, disebabkan keadaan Covid-19 di Kelantan semakin membimbangkan sejak beberapa minggu lalu sehingga fasiliti di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) kritikal, Kelantan memohon untuk kali kedua beberapa hari lalu.
“Berdasarkan rayuan yang dibuat, Kelantan memohon ia dilaksanakan selama dua minggu iaitu sekiranya bermula pada Jumaat ini iaitu 7 Mei dan berakhir pada 20 Mei.
“Setakat ini, rayuan yang dibuat belum mendapat maklum balas dan bergantung kepada Kerajaan Pusat untuk memutuskan sekali gus mengumumkan perkara itu sekiranya ia setuju dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi.
Sumber berkata, permohonan ‘lockdown’ terpaksa dibuat memandangkan pendekatan itu yang dianggap paling sesuai untuk memutuskan rangkaian Covid-19 di Kelantan.
“Kelantan sudah lebih dua minggu melaksanakan PKP namun sehingga kini kes Covid-19 tidak menunjukkan penurunan kerana hampir semua sektor ekonomi beroperasi seperti biasa.
“Dengan pelaksanaan ‘lockdown’, ia seperti pelaksanaan PKP 1:0 dengan tidak kesemua sektor dibenarkan beroperasi selain pergerakan lebih terhad berbanding sekarang,” katanya.
Ketika pelaksanaan PKP 1:0, hanya 25 sektor dalam bidang yang menjadi penggerak negara dibenarkan beroperasi termasuk air, elektrik, komunikasi, pos serta pengangkutan.
Media semalam melaporkan melaporkan, peningkatan kes Covid-19 di Kelantan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengambil pendekatan membuka hospital medan selain menambah PKRC.
Hospital medan akan dibuka di tapak padang perdana, di sini, selain satu lagi PKRC iaitu Kelantan Trade Centre (KTC) yang mampu memuatkan 1,000 pesakit dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin dilaporkan berkata, Hospital Machang juga akan dijadikan hospital Covid-19 sebagaimana Hospital Tumpat, bagi menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah.
Katanya, sehingga kini, fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kelantan sama ada di hospital serta PKRC sudah hampir penuh dan dalam keadaan kritikal.