Gejala seperti demam, sakit kepala, batuk, sakit tekak, hidung berair dan sakit-sakit badan, merupakan simptom yang dihadapi apabila seseorang individu yang mengalami demam selesema biasa.
Namun, kini dengan pertambahan kes virus influenza di negara kita, ianya tidak boleh diambil mudah kerana dua penyakit ini berkongsi simptom yang hampir sama, namun kedua-duanya adalah penyakit yang berbeza.
Jadi, apa yang membezakan antara influenza dan selesema biasa? Ikuti perkongsian oleh Hello Doktor seperti di bawah.
Kandungan
Influenza dan selesema biasa, kedua-duanya disebabkan oleh virus
Virus adalah agen penyebab bagi kedua-dua penyakit ini. Namun, ia melibatkan virus yang berbeza.
Bagi demam selesema biasa, virus utamanya adalah rhinovirus yang terdiri daripada 3 jenis utama A, B dan C. Terdapat sekitar 160 subjenis yang diketahui boleh menjejaskan manusia. Disebabkan jenis yang banyak, anda boleh mendapat jangkitan berulang kali.
Influenza atau flu pula disebabkan oleh virus influenza. Ia terdiri daripada jenis A, B, C dan D. Virus A adalah agen utama dengan subjenis yang pelbagai mengikut 2 jenis protein (H dan N) di permukaannya. Daripada 2 protein ini, nama-nama subjenisnya diambil. Paling kerap ditemui adalah H1N1 dan H3N1.
Bagaimana ingin membezakannya?
Tanpa ujian makmal yang khusus, mustahil untuk membezakan antara kedua-duanya hanya melalui tanda dan simptom yang dialami.
Namun, secara amnya simptom flu lebih teruk dan berlaku secara tiba-tiba. Berbeza dengan selesema biasa yang kebiasaannya ringan dan datang secara beransur. Beberapa perbezaan lain pula adalah:
- Demam kebiasaannya flu, terutamanya jika suhu tinggi sehingga 37.8°C-40°C.
- Flu menyebabkan rasa letih sehingga berminggu-minggu.
- Sakit tekak lebih kerap berlaku dalam selesema biasa.
- Hidung berair juga biasanya berlaku dalam selesema biasa.
- Mual, muntah dan cirit-birit adalah simptom flu.
- Komplikasi seperti pneumonia lebih kerap berlaku dalam flu.
Awasi tanda-tanda amaran. Jika berlaku, dapatkan bantuan perubatan segera kerana dikhuatiri komplikasi:
- Sesak nafas.
- Bibir dan kulit berwarna biru.
- Ruam.
- Terlalu penat sehingga tidak mampu bangun.
Mungkin bukan kedua-duanya, tetapi denggi
Demam, letih dan sakit sendi mungkin juga disebabkan oleh demam denggi. Memandangkan kes denggi sangat tinggi di Malaysia, lebih-lebih lagi di kawasan bandar, doktor mungkin akan mengesyakinya dan membuat ujian darah untuk menyingkirkan kebarangkalian demam denggi.
Apa pun penyakit yang mungkin menjangkiti badan anda, amalan gaya hidup sihat sentiasa menjadi langkah terbaik dalam mencegah daripada pelbagai jenis penyakit. Amalkan pemakanan sihat dan senaman berkala. Jangan lupa juga untuk mengambil vaksin influenza setiap tahun bagi mendapatkan perlindungan yang berkesan.
Sumber : Muhamad Firdaus Rahim via Hello Doktor