Kes Rogol: Mudir sekolah agama di Machang didakwa di mahkamah

Posted on

Seorang pengetua sekolah menengah agama di Machang berdepan enam tuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas dakwaan merogol, mencabul dan melakukan seks oral terhadap seorang pelajarnya sejak dua tahun lalu.

Tertuduh Mazlelee Mustafa, 45, bagaimanapun mengakui tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan mohon dibicara selepas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh pada 26 Januari 2018 kira-kira jam 10 pagi bertempat di pejabat pengetua didakwa menyentuh badan dan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun.

Dalam pertuduhan ketiga pula, Mazlelee didakwa melakukan perbuatan merogol mangsa yang sama pada 23 Februari 2019 dalam kejadian jam 10 pagi di pejabatnya.

Selain itu, tertuduh juga didakwa dengan maksud seksual menyebabkan mangsa menghisap kemaluannya dalam kejadian pada 22 Februari lalu di dalam sebuah kereta jenis Honda BRV, antara jam 9.30 malam hingga 11.30 malam di tepi Jalan Machang-Kuala Krai.

Perbuatan sama juga didakwa dilakukan tertuduh pada 22 Ogos 2020 di pejabatnya kira-kira jam 10.30 pagi, manakala dalam pertuduhan terakhir Mazlelee didakwa dengan maksud seksual menyentuh kemaluan mangsa yang ketika itu berusia 16 tahun pada 15 September lalu.

Tertuduh yang diwakili peguam Wan Fadzil Wan Omar merayu agar anak guamnya ditawarkan jaminan yang rendah dengan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Namun, Ahmad Bazli menetapkan tertuduh diikat jamin dengan RM35,000 dengan seorang penjamin, manakala sebutan kes dan keputusan laporan perubatan ditetapkan pada 24 Januari.

Sebagai rekod bagi pertuduhan pertama dan keenam, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu pertuduhan mengikut pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

sumber : MalaysiaKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.