Kluster Aidiladha punca kes meningkat di Kelantan

Posted on

Peningkatan kes Covid-19 di Kelantan sejak beberapa hari ini disebabkan oleh Kluster Hari Raya Aidiladha dan juga kluster pasar-pasar lama.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kewujudan kluster-kluster itu menyebabkan peningkatan kes yang agak mendadak semalam.

“Hampir setiap hari kita rasa bimbang dari segi peningkatan kes, tetapi kita sentiasa memantau.

“Jadi mungkin kelmarin ada peningkatan agak mendadak yang disebabkan aktiviti hari raya dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Outreach Imunisasi Covid-19 Kebangsaan du Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Bunga di sini, hari ini.

Seramai 400 individu akan menerima vaksin di program itu yang diadakan selama dua hari,bermula hari ini.

Turut hadir, Adun Bukit Bunga, Datuk Mohd Adhan Kecik.

Mengulas lanjut Dr Zaini berkata, beliau berharap kes itu dapat dikurangkan kepada satu angka yang munasabah pada masa akan datang.

“Mungkin kes Covid-19 akan stabil dalam tempoh seminggu lagi jika semua rakyat memberi kerjasama dengan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Jika kes Covid-19 dalam angka 300 sehari, penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang ada di Kelantan dapat dioptimumkan.

“Sebaliknya, jika kes meningkat, kemungkinan Kelantan akan membuka PKRC baharu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.