KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Kelantan mengesahkan rakaman video tular mengenai seorang pesakit yang dikehendaki menjalani pemeriksaan lanjut untuk pengesahan berkaitan wabak koronavirus di negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, keadaan pesakit lelaki berusia 50-an berada pada tahap ‘baharu disyaki’ dijangkiti wabak berkenaan dan perlu menjalani beberapa ujian bagi mengesahkan jangkitan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak benar melalui penularan rakaman video menerusi aplikasi WhatsApp hingga menimbulkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.
“Rakaman memaparkan pesakit dibawa menaiki ambulans dan dikatakan seorang penduduk dari negeri ini yang dijangkiti koronavirus sedangkan pesakit itu baharu hendak menjalani ujian.
“Pesakit dirawat di Hospital Pakar KPJ Perdana sebelum dibawa menaiki ambulans untuk dirujuk ke Hospital Tumpat bagi menjalani ujian pengesahan wabak koronavirus,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Rakaman video berdurasi 18 saat itu tular hari ini yang turut memaparkan tiga kakitangan hospital lengkap berpakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE).
Mengulas lanjut Dr Zaini berkata, pesakit tersebut sebelumnya menjalani rawatan paru-paru di hospital berkenaan, manakala ujian terhadapnya sudah pun dihantar ke makmal dan keputusannya bakal diketahui esok.
“Berdasarkan maklumat diterima, pesakit berkenaan dikatakan berkunjung ke Bangkok, Thailand bulan lalu dan pulang ke Kelantan pada 26 Januari lepas.
“Pesakit perlu menjalani ujian terlebih dahulu sebelum dapat mengesahkan dia diserang wabak koronavirus ataupun tidak,” katanya.
Sementara itu katanya, pemakaian PPE oleh kakitangan hospital sebagaimana dalam rakaman video itu merupakan langkah pencegahan dan berwaspada oleh anggota kesihatan melibatkan penyakit berjangkit dan bukan terhad kepada wabak koronavirus sahaja.
Setakat jam 4 petang tadi, Malaysia merekodkan 17 kes jangkitan wabak koronavirus dengan mangsa terbaharu seorang wanita berusia 65 tahun.
Wanita berkenaan adalah ibu mentua kepada lelaki berusia 41 tahun iaitu pesakit pertama yang disahkan positif jangkitan wabak koronavirus di negara ini.
sumber : sinar harian