Kota Bharu: Nak melaram kereta mewah, wanita rugi RM39,000

Posted on

Hasrat seorang wanita untuk memiliki sebuah kenderaan mewah lebur apabila dia diperdaya sehingga kerugian RM39,0000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, pada 28 Mac lalu, mangsa berusia 20-an melayari laman sosial dan tertarik dengan satu ‘page’ menjual kenderaan terpakai dari Singapura.

“Mangsa tertarik untuk membeli kereta jenis Toyota Alphard 3.5 daripada Singapura secara ansuran bulanan. Dia (mangsa) berhubung dengan suspek yang menyamar sebagai penjual melalui Whatsapp dan diminta untuk membuat bayaran berjumlah lebih kurang RM17,000 untuk proses insurans, cukai jalan dan urusan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan),” katanya menerusi satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Ahmad Azizul berkata, beberapa hari selepas itu mangsa membuat beberapa transaksi bayaran ke satu akaun bank tempatan dikatakan milik pekerja suspek.

Menurutnya, pada 2 April lalu, mangsa dihubungi melalui Whatsapp oleh seorang wanita yang mengakui pekerja suspek meminta mangsa membuat bayaran RM7,000 ke akaun bank tempatan yang sama bagi tujuan pendaftaran dan kos penghantaran kenderaan itu.

“Pada petang yang sama, wanita berkenaan meminta mangsa membuat bayaran deposit RM15,000 ke satu akaun bank tempatan lain milik individu berbeza dan mangsa terus membuat bayaran itu melalui tiga transaksi pindahan wang.

“Mangsa merasa tertipu sebaik suspek wanita terbabit mendakwa tidak menerima wang pembayaran deposit berkenaan dan meminta mangsa membuat bayaran RM15,000 itu secara sekali gus dalam satu transaksi sahaja. Secara keseluruhan mangsa mengalami kerugian RM39,000,” katanya.

Katanya, mangsa tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah Sabtu lalu untuk membuat laporan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK).

“Sebagai langkah berwaspada, selain semakan status penjual dibuat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), orang ramai juga disaran membuat semakan nombor akaun bank di http//ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau di aplikasi telefon pintar ‘Check Scammers CCID’ yang boleh dimuat turun secara percuma,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.