Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melakukan perbuatan khianat dengan membaling batu-bata ke arah kereta bapa mentuanya, Isnin lalu.
Tertuduh, Tuan Khairul Aiman Tuan Khairuddin, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat terhadap harta benda milik Che Mahdi Che Lah, 62, dengan cara membaling batu-bata ke arah keretanya sehingga menyebabkan kerugian melebihi RM25.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kok Lanas di sini, pada jam 12.50 tengah malam, 22 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Gayathri, manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Syaerah Meor Zulkifli Auni.
Terdahulu, Gayathri memohon tiada jaminan ditawarkan, manakala Siti Syaerah dalam rayuannya memohon diberi jaminan minimum kerana tertuduh yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran dan ditanggung sepenuhnya keluarga.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menetapkan 6 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.