Hanya kerana serai

Kuala Krai: Hanya kerana serai, lelaki parah ditetak

Posted on

Kuala Krai: Lelaki parah di kepala dan belakang badan dipercayai ditetak dalam pergaduhan di kebun getah di Kampung Gajah Mati Slow Temiang, di sini, semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa berusia 39 tahun kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, kejadian pada 12 tengah hari itu berlaku ketika suspek dan seorang lagi lelaki melalui jalan kebun mangsa, sebelum mangsa menjerkah mereka serta bertanya mengapa meracun serai yang ditanam.

Namun, katanya, suspek menafikan melakukan perkara itu.

“Ketika kedua-dua suspek ingin ke kereta ingin pulang dan melalui jalan kebun mangsa, mereka mendakwa mangsa membaling buluh tajam, batu serta sabit tajam oleh mangsa.

“Pada masa sama, mangsa juga menyerang suspek dengan parang dan berlaku pergelutan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Suzaimi berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian kerana suspek mahu melalui jalan untuk ke kebun getah, namun mangsa tidak benarkan sehingga berlaku pertengkaran dan pergaduhan.

Selain itu, mangsa juga menuduh suspek meracuni serai yang ditanamnya.

Suzaimi berkata, rakaman percakapan awal mangsa belum dapat diambil kerana mangsa sedang dirawat diHospital Sultan Ismail Petra.

“Bagaimanapun, hasil rakaman percakapan awal dengan doktor memaklumkan mangsa mengalami luka dalam sehingga pecah tengkorak kiri kepala, luka dalam di bahagian belakang dan luka calar di tangan kiri dan bengkak kaki kiri.

“Kecederaan yang dialami oleh mangsa adalah kecederaan serius dan boleh mendatangkan kecacatan kekal,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.