Rifel AK47

Kuala Krai: Pekebun getah miliki Rifel AK47 dijel 5 tahun

Posted on

Gara-gara memiliki senapang jenis Rifel AK47 tanpa kebenaran bertujuan menjaga tanaman getahnya, seorang pekebun dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Hukuman diputuskan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin terhadap tertuduh Zulkifli Yaakub, 50, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis AK47 tanpa kebenaran yang sah di sebuah rumah di Kampung Bahagia, Kuala Krai pada jam 3.10 pagi, 13 Disember lalu.

Baca: Suami isteri ditahan polis miliki AK-47 di Kuala Krai

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan sehingga enam kali.

Tertuduh juga didakwa pada pertuduhan kedua memiliki sebanyak 142 butir peluru tanpa kebenaran yang sah pada tarikh, masa dan lokasi yang sama serta dihukum penjara tiga tahun bagi kesalahan itu.

Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu agar hukumannya diringankan dengan memberi alasan pemilikan senjata itu bertujuan menjaga tanamannya.

“Saya tiada niat lain. Senapang itu hanya digunakan untuk menjaga kebun daripada gangguan haiwan liar.

“Isteri saya terpaksa menggadai barangan kemas untuk menyara anak-anak masih sekolah. Saya juga sudah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan ini,” katanya.

Abu Arsalnaa bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Pemilikan senjata api boleh membawa kepada kesalahan jenayah dan kehilangan nyawa,” tegasnya.

Ahmad Bazli kemudian menjatuhkan kedua-dua hukuman itu dan mengarahkannya berkuat kuasa serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditahan polis.

Sebelum ini, sepasang suami isteri ditahan kerana memiliki selaras senapang jenis AK47 yang digunakan untuk menjaga kebun getah seluas enam hektar di Kuala Krai.

Senapang tersebut pernah menggunakan untuk menembak mati dua ekor gajah liar yang mengganggu tanaman tersebut, dua tahun lalu.

sumber : sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.