Seorang pesara Pasukan Khas Laut (PASKAL) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini atas kesalahan membunuh wanita warga emas dalam kejadian samun pada 2017.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili tertuduh, Zarmayade Abdullah, 44, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Sepanjang prosiding, pihak pendakwaan memanggil seramai 27 saksi untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Zarmayade didakwa membunuh Rokiah Mamat, 61, di sebuah rumah di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada dekat Kuala Krai antara jam 11 pagi hingga 6 petang pada 12 April 2017.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam tertuduh, Wan Abdullah Thani, dalam rayuannya memohon supaya mahkamah meneliti latar belakang tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman.
Media sebelum ini melaporkan, Rokiah ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai disamun sebelum dibunuh di rumahnya.
Mangsa ditemui mati oleh anak keduanya yang bertugas sebagai seorang guru ketika pulang dari mengajar kira-kira jam 3.30 petang.
Susulan kejadian itu, tertuduh yang juga berasal dari Kuala Krai ditahan dan polis turut menemui sebentuk cincin emas dipercayai milik mangsa yang ada bersama suspek.